KOTA KINABALU – Beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Sabah enggan menandatangani surat jaminan taat setia terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Sabah, Datuk Anifah Aman berkata, cadangan itu merupakan satu penghinaan kepada Ahli Parlimen Sabah, seolah-olah mereka tidak setia kepada parti dan mudah berpaling tadah.
Beliau sebaliknya menegaskan, perjanjian jaminan itu jika diteruskan, perlu ditandatangani oleh Ahli Parlimen BN seluruh negara dan tidak hanya melibatkan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak sahaja.
“Kami telah berulang kali menyatakan kesetiaan terhadap kepimpinan BN dan turut memberi jaminan tidak akan melompat parti kepada pakatan pembangkang.
“Kami juga melakukannya ketika kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh, di televisyen dan lagi di Kota Kinabalu. Adakah dengan kekerapan penafian ini tidak cukup menunjukkan kesetiaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal untuk mengumpul tandatangan jaminan taat setia semua anggota Parlimen dari Sabah dan Sarawak semalam.
Anifah turut mempersoalkan niat Shafie membuat cadangan tersebut sama ada bertujuan mendapat kelebihan politik kerana akan bertanding jawatan Naib Presiden UMNO.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh berkata, jaminan kesetiaan itu membayangkan Ahli Parlimen Sabah tidak boleh dipercayai.
Beliau menegaskan, Ahli Parlimen Sabah bersikap lantang menyuarakan isu di Dewan Rakyat hanya kerana mahukan masalah rakyat mendapat perhatian dan diselesaikan segera.
“Bagaimanapun, sikap kami ini tidak boleh disalah tafsir bahawa kami golongan yang tidak setia kepada kepimpinan BN. Saya tak akan tandatangan,” katanya.
Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Eric Majimbun berkata, beliau dan Ahli Parlimen Tawau, Datuk Dr. Chua Soon Bui juga tidak akan menandatangani perjanjian itu.
“Apakah faedah perkara sebegini. Ini dipanggil jaminan yang tiada apa-apa erti,’ katanya.





















Leave a Reply