KALAU tidak mati rasa pun , maka berhati batu dan paling tidak pun berhati kayulah bagi sesiapa yang tidak titiskan air mata ketika tirai Ramadhan al-mubarak hampir dilabuhkan dan 1 Syawal bakal menjengah apabila membaca, menatap dan menghayati pengorbanan seorang remaja berusia 14 tahun yang telah mengorbankan masa depannya demi lapan adiknya.
Mohd. Norshahrul Amri Anuar dari Titi Bakong dan merupakan pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Yan, Kedah sebagaimana laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini, memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga setelah bapanya dipenjarakan baru-baru ini.
Walaupun tidak dinyatakan atas kesalahan apa ayahnya dipenjaran, tetapi jika diselami dan dihayati keadaan kehidupan keluarga remaja bermoral tinggi itu, kalaulah bapanya melakukan kerja jenayah sehingga dipenjarakan, pasti ianya dilakukan kerana desakan hidup.
Secara tersiratnya remaja itu bukan sahaja bermoral dan mempunyai kemuliaan hati tetapi juga sikap menunjukkan dia seorang yang beriman dan bertaqwa kerana lazimnya dalam keadaan tersepit dan susah remaja sepertinya akan memberontak, malah mudah terdorong kepada perlakuan-perlakuan tidak moral, tetapi tidak demikian halnya dengan Mohd. Norshahrul.
Berhenti sekolah yang bererti memusnahkan masa depannya, Mohd. Norshahrul menjadi kelinda lori dengan pendapatan harian sebanyak RM10 untuk menampung keperluan lapan adik, ibu dan dirinya, bermakna isi keluarganya seramai 10 orang dan yang kini hanya berteduh dibangsal membuat nira kepunyaan datuk saudaranya.
Pengorbanan remaja itu pada hemat saya tidak kurang hebatnya dengan seorang pemimpin pasukan tentera di medan perang yang sanggup menahan dadanya untuk tusukan keris, lembing, seligi, tetakkan parang atau padang dan juga menjadi sasaran peluru serta ledakan bom demi kepentingan keselamatan anak buah yang dipimpin.
Hanya insan yang mati rasa atau yang behati batu atau kayu sahaja yang tidak akan merasa berkewajipan dan bertanggungjawab untuk membantu dan tidak akan membiarkan Mohd. Norshahrul memusnahkan masa depannya dengan pengorbanan untuk keluarganya yang begitu terlalu dan teramat besar.
Langkah-langkah segera perlu dilakukan oleh pelbagai pihak supaya Mohd. Norshahrul kembali bersekolah dan keluarganya diberi peluang untuk mempunyai sumber pendapatan (diberi kail), umpamanya diberi modal untuk memulakan perniagaan serta diberikan sama pengawasan dan bimbingan sehingga ibunya Norsidah Abu, 30, mahir dan mampu berdikari menguruskan perniagaan.
Inilah masanya, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak patut dan wajar sepantas kilat memprogramkan siri ceramah di dalam dan di luar Kedah bagi memungut derma sebagaimana yang sering Pas lakukan bagi mengisi tabung parti, bagi menyelamatkan masa depan Mohd. Noshahrul.
Jangan kerana ayahnya dipenjara, maka tidak ada yang pecah lior mahu membantu dan menyelamatkan masa depan Mohd. Noshahrul. Kena terima hakikat bahawa tidak semestinya bapak borek anak akan rintik.
Ibrahim a.s. menjadi nabi dan rasul walaupun ayah baginda seorang pembuat berhala, membuktikan bila bapak borek anak akan rintik.
Melihat kepada pengorbanan Mohd. Norshahrul, jelas menampakkan remaja itu berhati suci dan apa yang dilakukannya itu bukan sahaja tidak akan dilakukan oleh seorang remaja tetapi juga tidak akan dilakukan oleh orang dewasa yang tidak mulia moral, pekerti dan hatinya serta kalau ianya bukan seorang yang beriman dan bertaqwa.
RAMLI ABDUL HALIM
http://www.melikapakjangak.blogspot.com

























