SUARA MAHASISWA | Awal pagi ini, saya berasa semangat sikit apabila membaca beberapa post berhubung perkembangan Pro Mahasiswa (ProM) di beberapa kampus peringkat nasional.
Paling menarik adalah formasi unik oleh lebih 500 aktivis mahasiswa di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Menteri KPT, Datuk Seri Khaleed Nordin akhirnya telah memberi respon berhubung tuntutan PRK yang adil, bebas dan demokratik.
Takziah kepada beberapa mahasiswa yang telah dikasari oleh segelintir Pegawai Keselamatan di sana. Tahniah kerana berani tampil membuat laporan polis dan kenyataan media secara terbuka.
Di Universiti Putra Malaysia (UPM) juga menarik. Saya tidak menyangka bahawa dua (2) srikandi ProM berani mempersoalkan kezaliman pentadbiran Kolej Tun Perak dan sanggup bergolok-gadai sampai ke Parlimen Malaysia.
Terima kasih Naib Canselor di sana kerana prihatin dengan kedua-dua mangsa politik tersebut. Tahniah juga kepada ProM UPM khususnya kpd Sdri. Nur Farhana Farzieana Amin dan Sdr. Siti Syafiqa Mohd Ali kerana lantang mempertahankan hak-hak anda di kampus.
Di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) pun begitu. Jumlah representasi calon-calon ProM juga meningkat sampai 8 kerusi. Tiga (3) darinya adalah kerusi ‘umum’. Tambahan, undi popular dan tertinggi juga terdiri oleh calon ProM UPSI sendiri. Tahniah!
Begitu juga dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). ProM di sana menang majoriti 7 kerusi. Ini bermakna ProM UNIMAS boleh membentuk ‘kerajaan’ MPP kelak. Tahniah!
Pro Mahasiswa Universiti Utara Malaysia (ProM UUM) walaupun agak tidak memenangi kerusi pertandingan, namun penampilan kali ini jauh lebih berdepan dan lantang sehingga membingungkan Naib Canselor di sana, Dato’ Prof. Dr. Nordin Kardi sendiri. Bagaimana ProM boleh wujud di sana? Tahniah!
Tidak lama lagi, Universiti-Universiti utama pula akan menyaksikan pertandingan antara Pro Mahasiswa (ProM) dan Pro Aspirasi (bukan Aspirasi Saiful Bukhari Azlan, mantan Ketua Aspirasi UNITEN).
Pilihanraya Kampus di beberapa Universiti utama ini tidak tahu bagaimana pula keputusannya?
Adakah MPP akan terus dinodai oleh Pro Aspirasi, atau akan berpindah tangan kepada kumpulan mahasiswa yang genuine – Pro Mahasiswa (ProM)?
Namun yang pasti, ada suatu budaya baru sedang bergelodak dan terus menggugat sistem kurafat yang selama ini telah mencengkam paradigma dan tradisi kemahasiswaan kampus.
Kurafat yang dimaksudkan adalah MAHASISWA berasa dirinya tidak ubah seperti timun dan lawan mereka (iaitu Pro Aspirasi) senantiasa dilihat seperti durian atau menjadi proksi pihak-pihak ‘tertentu’ yang boleh juga diumpamakan seperti durian.
Resepi timun mudah, dilanggar oleh durian pun cedera dan jikalau melanggar durian lebih-lebih lagi lah cedera.
Durian mempunyai pelbagai kebolehan. Duri yang tajam bolehlah diumpakan seperti AUKU aka ‘Akta Untuk Kuatkan UMNO‘.
AUKU ini senantiasa mencengkam, menakut-nakutkan, membodohkan dan mengancam aktivitisme mahasiswa; khususnya mahasiswa-mahasiswa yang lantang.
Di USM umpamanya. AUKU telah pun menyebabkan seorang mahasiswa, Sdri. Soh Sook Hua, 24 dikenakan denda RM200 kerana melibatkan diri dalam PRU11 lepas.
Walhal, setiap rakyat Malaysia yang berusia 21 dan ke atas boleh mengundi dan menyertai politik kepartian sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan (PP).
Namun, Sdri Soh Sook Hua akhirnya telah mencabar AUKU dan Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) di Mahkamah Sivil.
Implikasinya, kes tersebut masih ditunda-tunda dan cukup memeningkan kepala Menteri KPT, SU KPT dan segelintir proksi UMNO di USM sendiri.
Selain AUKU, segelintir staff-staff pro UMNO seperti En. Eruwan, En. Zul dan En. Zuaril Akimi bolehlah diumpamakan seperti kulit durian yang keras-keras, jika dibandingkan dengan fizikal timun yang lembut dan mudah tercedera.
Tanpa staff-staff tersebut, Pro Aspirasi di USM ini tentu tidak berupaya untuk tampil sebagai ikon mahasiswa yang genuine.
Tanyalah kepada mahasiswa di Sekolah Sains Pooooooolitik, bagaimana penampilan dan rekod akademik Ketua Aspirasi sendiri. Mereka ada jawapannya.
Walaupun mahasiswa dan aktivis-aktivis ProM sendiri senantiasa ditakut-takutkan dengan ‘politik durian’ sehingga mereka sendiri sebelum ini berasa diri mereka tidak ubah seperti ‘timun’, namun perkembangan mutakhir ProM di beberapa kampus sebagaimana yang dilaporkan di atas telah memberi mood perubahan baru dalam diri mereka di sini.
Dalam perhimpunan Sukarelawan ProM dan wartawan Suara Mahasiswa (SM) lewat petang tadi di sini, cerita-cerita perubahan nilai dan kemenangan ProM-mahasiswa di UPM, UKM, UPSI, UNIMAS, UM dan sebagainya tidak lekang dan disebut-sebut oleh pemimpin-pemimpin ProM USM.
Tuntasnya, ProM USM dan mahasiswa sendiri walaupun mungkin masih berasa diri mereka sebagai ‘timun’ (mahasiswa yang genuine yang tiada kudrat menghalang AUKU, menentang penyalahgunaan kuasa oleh segelintir staff-staff BHEP), namun cara mereka (ProM dan Mahasiswa) melihat diri pesaing mereka (iaitu durian) sudah berbeza.
Mereka yakin bahawa kebebasan bersuara, berhimpun berpersatuan oleh blok ‘Timun’ jika diancam atau dikasari oleh blok Durian, banyak pihak boleh diadu kepada banyak – Biro Pengaduan Awam (BPA), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), NGO Suara rakyat Malaysia (SUARAM), media-media alternatif, pihak Polis, Pensyarah-Pensyarah, Parlimen Malaysia dan sebagainya.
Akhirnya, mereka yakin bahawa isi durian hakikinya lebih lembut dari isi timun jika dikopak-kopak secara konsistan, sopan dan kena caranya.
Walaupun kita timun, mereka durian…!!!
walaupun kita (timun) dilanggar pun cedera dan melanggar (durian) lebih-lebih lagi lah cedera…!!!
Namun, apabila isi durian dikeluarkan dari kulitnya atau diramuan menjadi sambal durian atau tempoyak; pada waktu itu, kita (potongan-potongan timun) pula dilenyet-lenyet di atas sambal durian atau tempoyak sebelum diulam makan oleh penggemarnya -END
__________________
MORAL: Kekuatan dan kelemahan mahasiswa sebenarnya bergantung kepada persepsi mereka kepada pesaing-pesaing mereka. Jika mereka terus berdepan dengan pesaing-pesaing mereka (iaitu Pro Aspirasi, AUKU dan segelintir BHEP yang tidak rasional) secara demokratik, berperundangan/sivil, akademik dan sopan-santun; pecayalah bahawa pesaing-pesaing mereka akan dikalahkan dalam Pilihanraya Kampus sidang akademik akan datang.
–Oleh siswaUSM

























