KOTA KINABALU, – PAS Sabah mendesak bekas pemimpin kanan SAPP yang masih mengekalkan jawatan dalam kabinet Sabah sehingga hari ini agar meletakkan jawatan masing-masing ekoran parti itu telahpun keluar daripada Barisan Nasional (BN).
Iklan
“Kita mendesak agar mereka ini meletakkan jawatan secara bermaruah, kerana tiada lagi dalam sejarah negara ini seorang pimimpin masih memegang jawatan penting kerajaan dalam keadaan parti mereka sudah berada diluar kerajaan.”
Demikian tegas Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah Haji Hamzah Abdullah ketika diminta mengulas mengenai bekas dua tokoh utama SAPP yang masih dikekalkan dalam kerajaan BN Sabah walaupun status mereka masih belum diputuskan dalam BN.
Mereka itu ialah mantan Timbalan Presiden SAPP Dato’ Raymond Tan yang memegang portfolio Timbalan Ketua Menteri dan Kementerian Pembangunan Infarstruktur serta senator Frankie Chong sebagi Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah.
Baru-baru ini kedua-dua tokoh itu dikatakan telah menyerahkan surat perletakan jawatan dalam kabinet Sabah kepada Ketua Menteri Sabah Dato’ Musa Haji Aman, walau bagaimanapun mereka diminta mengekalkan jawatan itu sementara menunggu keputusan daripda BN Sabah sendiri.
Hamzah yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Batu Sapi berkata, jika mereka terus mengekalkan jawatan itu, ini bermakna kerajaan telah membazirkan wang rakyat untuk menggajikan mereka ini yang sepatutnya sudah tidak berada dalam kerajaan Sabah.
Hamzah menambah, jika langkah yang dibuat oleh BN Sabah seperti ini mereka anggap sebagai suatu yang bermaruah, maka dalam hal yang sama mereka sewajarnya juga mengiktiraf para pemimpin BN yang mahu beralih kepada Pakatan Rakyat bagi membentuk kerajaan baru yang lebih bermaruah.
“Jadi bila berbicara soal maruah, pemimpin BN sebenarnya tidak layak menyentuh soal itu,” katanya sinis.
Ketika ditanya mengapa Ketua Menteri Sabah Dato’ Musa Haji Aman masih mengekalkan jawatan itu kepada dua tokoh berkenaan, beliau menegaskan bahawa BN mengharapkan mereka ini akan menubuhkan parti baru untuk menampung ahli SAPP yang keluar parti.
Apapun jelas beliau lagi, dengan tertubuhnya parti baru itu kelak, ia hanya sebagai boneka dan pak turut kepada kehendak pemimpin BN semata-mata.
Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Kalabakan Dato’ Seri Panglima Haji Abdul Ghapur Salleh turut mempertikaikan kedudukan Raymond dalam kabninet Sabah.
Beliau berkata, dia (Raymond) tidak seharusnya berada dalam barisan kabinet negeri.
“Kalau itu berlaku, sayapun boleh ‘claim’ jadi wakil rakyat Bebas, kemudian mahu menjawat jawatan dalam kerajaan. Seolah-olah siapa sahaja boleh “checkin dan checkout” dalam BN,” tegasnya.
Ghapur turut menyifatkan BN sudah ‘bermasalah’ sekiranya wakil rakyat Bebas, dibenarkan memegang jawatan dalam kerajaan.
Beberapa pemimpin Komponen BN termasuk dari MCA juga mendesak mereka mengosogkan jawatan itu. – Harakah

























