Mstar hari ini melaporkan bahawa dijangka 2 juta pemilih baru yang layak mengundi akan mewarnai bahang dan impak parti politik yang bertanding menjelang Pilihan Raya 13 (PRU13) akan datang. Keadaan ini akan memberi kesan besar kepada keputusan pilihanraya tersebut.
Pertambahan 2 juta pengundi baru ini adalah kesan kesedaran pilihan raya umum yang lalu. Jumlah pemilih baru ini mungkin akan meningkat dan peratus jumlah yang turun mengundi dalam Pilihanraya ke 13 akan datang juga mungkin akan bertambah.
Beberapa pemimpin BN seperti Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Datuk Mukhriz Mahathir berkata bahawa UMNO dan BN harus bertindak dengan segera dengan cara yang berkesan untuk mendekati golongan muda ini.
Namun, melihat dari keputusan pilihan raya umum lepas dan senario semasa politik negara masa kini, memang tidak dinafikan bahawa pengundi baru termasuk golongan muda memberi kesan besar kepada kemenangan Pakatan Rakyat.
Apakah Pakatan Rakyat akan selesa dengan kemenagan sekarang..? pastinya mereka juga akan berkerja keras untuk menarik golongan muda tersebut. Mereka akan menggunakan segala jentera yang ada. Kekuatan ini mungkin didorong atas kemenangan menawan 5 buah negeri dan yang pasti Putrajaya adalah matlamat utama.
Kepelbagaian sumber maklumat melalui dunia Internet memberikan golongan muda ini lebih pertimbangan antara berita arus perdana dan berita dari dunia maya. Mereka kini lebih matang dan bijak untuk memikirkan yang mana lebih tepat atau tidak. Keputusan PRU 13 terletak di tangan mereka.
KOMEN PEMERHATI POLITIK
Dalam pada itu, pemerhati politik melihat pola pemilih baru menjelang pilihan raya umum ke-13 akan membawa perubahan besar kepada senario politik negara dengan parti-parti politik mempunyai cabaran untuk menarik sokongan golongan muda ini.
Menurut Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, parti-parti politik kini perlu memainkan peranan mereka dalam menarik minat dua juta golongan yang akan disasarkan ini untuk aktif dalam politik.
“Mendaftar sebagai pengundi dan aktif dalam politik adalah dua perkara yang berbeza. Justeru parti-parti politik kini perlu mendekati golongan ini supaya aktif dalam politik kerana dari situlah, komitmen mereka untuk keluar mengundi akan timbul.
“Itulah cabaran besar yang perlu dihadapi oleh parti-parti politik negara ini baik kerajaan atau pun pembangkang,” katanya.
Dalam pada itu, pensyarah sains politik UKM, Prof Madya Dr. Ahmad Nizammuddin Sulaiman pula berpendapat perkembangan politik semasa telah mempengaruhi selera pengundi-pegundi muda ini dalam membuat keputusan parti pilihan mereka.
“Orang muda hari ini berfikiran lebih kritis dalam isu-isu seperti hak asasi, keterbukaan dalam pemerintahan, kerajaan yang bebas daripada rasuah dan isu ISA yang menjadi faktor kepada perubahan tersebut.
“Mereka lebih bersemangat dan lantang bersuara memperjuangkan hak mereka. Mereka banyak menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil dan Gerakan Mansuh ISA jadi ini dilihat sebagai satu perubahan daripada aspek pemikiran mereka,” katanya.
Ahmad Nizammuddin berkata, faktor ini dipengaruhi oleh kesedaran politik yang tinggi di samping gesaan daripada rakan-rakan daripada parti politik pembangkang,” katanya.
Jelas beliau, golongan pengundi muda ini merupakan golongan yang berani memberi peluang kepada sesuatu yang baru.
“Sikap berani mencuba akan memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat untuk memerintah menjelang PRU ke-13,” katanya.
Sementara itu, pensyarah sains politik Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Dr Azeem Fazwan Ahmad Faruk berkata, cara golonngan muda mengundi pada pilihan raya akan datang masa hadapan akan dipengaruhi oleh banyak faktor termasuk pendedahan kepada politik dan sentimen semasa yang mempengaruhi undi mereka.
“Kalau lihat pengundi muda, mereka berfikiran kritikal kesan daripada revolusi internet kerana kebanyakan mereka mendapatkan maklumat internet termausk daripada blog.
“Walaupun mungkin ada yang tidak benar (kandungan internet) tetapi mereka cenderung untuk mempercayainya.
“Ini disebabkan mereka tidak lagi menjadikan akhbar dan televisyen sebagai sumber mendapatkan maklumat kerana menganggap media arus perdana ini sudah kurang kredibilitinya dalam menyampaikan berita,” katanya.
Selain itu katanya, cara golongan muda ini berkomunikasi antara satu sama lain juga berbeza termasuk melalui blog, e-mel dan khidmat pesanan ringkas (SMS).
“Ini semua memberi cabaran kepada parti-parti politik terutama parti pemerintah yang perlu terus mempertahankan kedudukan mereka.
“Mereka perlu memikirkan jalan untuk mempengaruhi golongan pengundi baru ini dengan cara baru kerana wujud jurang generasi antara golongan muda dan tua melalui cara mereka berfikir,” katanya.
Azeem berkata, terdapat banyak faktor yang akan mempengaruhi keputusan pilihan raya akan adatang termasuk kedudukan ekonomi, harga barang dan kadar jenayah dalam negara.
“Kalau mereka puas hati dengan keadaan pada masa itu, mereka akan undi parti pemerintah. Kalau tidak, mereka akan mengundi pembangkang,” katanya.





















Leave a Reply