Keadaan banjir di Terengganu bertambah buruk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan pagi ini meningkat kepada 3,484 orang berbanding 1,743 orang petang semalam.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri berkata mangsa yang terlibat dengan perpindahan itu membabitkan 679 keluarga.
“Setakat ini empat daerah di Terengganu terlibat dengan banjir iaitu Besut, Setiu, Hulu Terengganu dan Marang,” katanya ketika dihubungi.
Jurucakap itu berkata daerah Besut paling buruk dilanda banjir apabila jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 1,556 orang berbanding 954 petang semalam, diikuti Setiu (964), Hulu Terengganu (609) dan Marang (355).
Beliau berkata setakat ini, 51 pusat pemindahan yang membabitkan surau, masjid, sekolah dan dewan serba guna telah dibuka di keempat-empat daerah berkenaan.
Jurucakap itu berkata paras air sungai Besut, sungai Setiu, sungai Nerus dan sungai Marang, juga masing-masing melepasi paras bahaya.
Jalan Kuala Terengganu-Kota Baharu, Kelantan di Km29 dibuka satu lorong sahaja pagi ini manakala Jalan Kuala Berang-Sungai Tong dan Jalan Kuala Berang ke Tasik Kenyir ditutup kepada kenderaan ringan, katanya.
Di KOTA BAHARU, keadaan banjir di Kelantan juga semakin buruk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan meningkat kepada 3,415 orang berbanding 2,397 orang semalam.
Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Bencana Banjir (PKOB) Kelantan berkata sehingga 10 pagi ini, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di 26 pusat pemindahan di empat daerah di Kelantan iaitu daerah Jeli, Tanah Merah, Kuala Krai dan Pasir Mas kini meningkat kepada 3,415 orang melibatkan 620 keluarga.
Katanya jumlah mangsa banjir meningkat sebanyak 1,018 orang berbanding jumlah yang dilaporkan malam semalam iaitu 2,397 orang. Tiga lagi pusat pemindahan dibuka di daerah Pasir Mas.
Jumlah keseluruhan mangsa yang ditempatkan di sembilan pusat pemindahan di daerah Jeli adalah 1,844 orang manakala tujuh pusat pemindahan di daerah Tanah Merah pula melibatkan 346 orang.
Beliau berkata di daerah Kuala Krai pula, tujuh pusat pemindahan dibuka melibatkan 604 orang dan di daerah Pasir Mas sebanyak tiga pusat pemindahan yang menempatkan 621 orang.
Kesemua jalan utama kini dibuka kepada semua kenderaan kecuali dua buah jalan di daerah Pasir Mas iaitu jalan di Kampung Kajang dan di Kampung Rahmat yang ditutup kepada kenderaan ringan.
Sementara itu, menurut Jabatan Pengairan dan Saliran Kelantan, tujuh sungai utama di Kelantan kini berada pada paras berjaga-jaga manakala satu sungai utama menghampiri paras berjaga-jaga.
Melalui kenyataan yang dipetik daripada laman web jabatan itu, tujuh sungai utama yang melebihi paras berjaga-jaga adalah Sungai Galas di Dabong iaitu di paras 34.94 meter (berjaga-jaga 32 meter), Sungai Lebir di Tualang 27.08 meter (berjaga-jaga 27 meter), Sungai Kelantan di Kuala Krai 23.54 meter (berjaga-jaga 20 meter), Sungai Kelantan di Kusial 16.76 meter (berjaga-jaga 12 meter), Sungai Kelantan di Jeti Kastam 4.39 meter (berjaga-jaga 3 meter), Sungai Golok di Jenob 23.74 meter (berjaga-jaga 21.50 meter) dan Sungai Golok di Rantau Panjang 8.34 meter (berjaga-jaga 7 meter).
Sementara itu satu lagi sungai utama di Kelantan iaitu Sungai Semerak di Pasir Puteh kini berada pada paras 1.52 meter menghampiri paras berjaga-jaga iaitu 2 meter.
Di KUANTAN, keadaan banjir daerah Temerloh dan Cameron Highlands pada pagi ini tidak berubah dengan jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan kekal 25 orang, menurut jurucakap bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang.
Daerah Temerloh masih mencatatkan 12 mangsa dari kampung Kuang, Lanchang yang kini ditempatkan di balai raya Taman Murni manakala 13 mangsa daripada dua keluarga di Cameron Highlands masih berada di dewan orang ramai Ringlet.
Katanya dua jalan di daerah Bera iaitu jalan Kampung Orang Asli Chuat dan jalan Kampung Orang Asli Ibam masih ditutup kepada kenderaan ringan selepas air setinggi satu meter melimpahi jalan. — Bernama





















Leave a Reply