IKLAN


Lebih banyak aktiviti, program kebudayaan untuk golongan muda

KOTA KINABALU – Usaha menarik golongan muda di negeri ini supaya mencintai kebudayaan dan kesenian perlu lebih kerap dilakukan melalui aktiviti atau program tertentu.

Pembantu Menteri Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Bolkiah Ismail berkata, langkah tersebut bagi memastikan warisan etnik-etnik di Sabah tidak pupus.

“Jika sesuatu budaya tidak dipelihara dengan baik, kita risau akan lenyap begitu sahaja.

”Untuk itu kekayaan tradisi budaya di negeri ini perlu lebih giat dikembangkan kepada generasi muda,” katanya.

Bolkiah Ismail (kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang pada Festival Teater Malaysia di Kota Kinabalu, semalam.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmi penutupan Program Festival Teater Malaysia (FTM) peringkat negeri di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dekat sini hari ini.

Katanya, tanggungjawab memelihara dan menanam kecintaan terhadap warisan seni budaya Sabah bukan digalas Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah sahaja tetapi semua pihak.

Di samping itu, katanya, golongan muda khususnya remaja perlu menunjukkan minat dan rasa cinta yang mendalam terhadap kebudayaan dan kesenian sendiri.

Beliau berkata, kewajaran dan keharusan menjaga warisan seni budaya di Sabah bukan sahaja untuk orang muda tetapi juga sebagai satu produk pelancongan di Sabah.

Sehubungan itu, beliau meminta semua jabatan dan agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam aktiviti seni supaya berganding bahu.

Mengenai FTM, Bolkiah berkata, ia merupakan lanjutan program Pekan Teater Kebangsaan bertujuan memberi peluang kepada aktivis teater tanah air mementaskan karya terpilih.

Bolkiah berharap program seperti itu akan dapat diteruskan pada masa akan datang bagi mengangkat martabat teater serta aktivis supaya setanding dengan teater dari luar negara.

Sumber: Utusan Malaysia

Share |




Maklumat ini telah diterbitkan pada Thursday, June 25th, 2009 dalam kategori berita, sabah. Anda boleh mengikuti komen berkaitan maklumat ini melalui feed RSS 2.0. Anda boleh meninggalkan komen , atau trackback daripada laman web anda.