Thabit ibnu Qurrah atau dikenali di Barat dengan panggilan Thebit, terkenal dengan penyelidikannya dalam bidang mekanik, astronomi, dan geometri. Beliau yang dilahirkan pada 836 M di Harran (kini Turki) dan meninggal di Baghdad pada tahun 901 M, merupakan seorang ilmuwan Arab yang hidup pada kurun ke-3 Hijrah bersamaan kurun ke-9 Masihi.
Ilmuwan Muslim terkenal di zaman kekuasaan Abbasyiah ini sebenarnya turut dikenali sebagai ahli matematik. Menurut JJ O’Connor dan EF Robertson, ahli matematik dari abad ke-9 M itu telah berjasa dalam meletakkan dasar-dasar matematik moden. Beliau memainkan peranan penting dalam penemuan hitungan integral, geometri analitik, dalil trigonometri lingkaran serta konsep angka-angka riil.
Thabit ibnu Qurrah mendapat pendidikan di kota Harran serta mengasaskan sebuah sekolah tinggi di kota Riqqah. Beliau pernah menghasilkan 260 buah buku dan makalah dalam pelbagai bidang antaranya matematik, astronomi, muzik, perubatan, mantik dan kejuruteraan. Selain itu beliau juga berjaya menyelesaikan persamaan kuadratik dalam bidang matematik melalui gabungan ilmu algebra dan kejuruteraan. Sehubungan itu, beliau menjadi pengasas terulung dalam bidang matematik kalkulus, 600 tahun sebelum kehadiran Decard, Cardan, dan Beacon.
Thabit ibnu Qurrah dianggap ‘genius’ dan berotak geliga sehingga menjadikan umat Arab dikenali sebagai bangsa yang pandai mencipta dan meneroka pelbagai bidang keilmuan. Malahan, kisah tokoh yang menjadi kebanggaan umat Islam ini telah dijadikan bahan bacaan untuk golongan kanak-kanak, remaja dan dewasa.
Selain ahli falsafah, ahli matematik dan ahli perubatan yang terkenal, Beliau juga terlibat dan berkebolehan dalam penterjemahan karya-karya Yunani termasuk Jalinus. Selain menterjemah, beliau membuat ringkasan dan karya asli berdasarkan karya-karya Jalinus.Di antara ringkasan karya Jalinus ialah Mukhtasar Thabit ibn Qurrah li Kitab Jalinus fi al-Mauludin li sab’at Asyhur yang berdasarkan karya Jalinus Deoctimestri partu. Di dalam risalah ini, Thabit menekankan bahawa seorang yang dilahirkan dalam tempoh kandungan 7 bulan berkemungkinan hidup iaitu dari tempoh 184 hingga 204 hari. Karya-karya lainnya termasuklah Kitab fi al-Nabd, Kitab fi al-Mfasil wa al-Naqras, Risalah fi al- Ibanah ‘an Manfa’at al Tibb, Risalah fi al-Faraq bain al- Junun al-’Arid min Mass al-Syayatin, Kitab al-Zakhirah fi‘Ilm al-Tibb dan lain-lain.
Sumber: E-majalah (karangkraf)





















Leave a Reply