Dasar PPSMI mendapat reaksi dan empati

DASAR kontroversi PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) mendapat reaksi dan empati rakyat kerana pelaksanaannya secara mendadak tahun 2003 oleh individu yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan.

Dasar yang songsang daripada arah tuju dan tema kepemimpinan baru, iaitu “1Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan”. Satu Malaysia bermaksud sebuah kewarganegaraan, satu impian dan satu negara.

Menyedari hakikat 1Malaysia yang menuntut perpaduan rakyat pelbagai kaum maka pelaksanaan dasar PPSMI mendapat reaksi khalayak malah tidak menjadikan orang kreatif dan berfikiran kritis kerana bahasa ibunda lebih merangsang kesedaran dan kecerdasan fikiran dalam proses pembangunan emosi dan kognitif seseorang kanak-kanak.

Oleh itu, gema menuntut PPSMI dimansuhkan perlu didengari oleh kuasawan bahawa bahasa yang pertama ialah bahasa Melayu dan bahasa utama pula bahasa Inggeris. Hentilah, dasar kontroversi ini!

Pelajar tidak memerlukan istilah-istilah teknikal yang kompleks bagi memahami konsep sains dan matematik yang terarah kepada simbol, angka dan formula. Sebaliknya, dominasi Ilmu dan pendidikan perlu diperkuatkan melalui baik bahasa yang pertama, iaitu bahasa Melayu ataupun sistem dan metodologi bahasa utama yakni bahasa Inggeris.

Sistem pendidikan kebangsaan melalui pengantar bahasa Melayu telah melahirkan ribuan pemegang ijazah pertama, sarjana dan kedoktoran daripada universiti , Australia, UK dan USA, termasuk daripada universiti ternama seperti Oxford, Cambridge, London School of Economics, Notthingham, Harvard, Standford, Chicago dan Berkley.

Bilangan ratusan ribu pakar sains, profesional , cendekiawan ilmuwan, penyelidik, pensyarah, profesor, dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan yang berjaya membangunkan Malaysia sejak tahun 70-an malah angkasawan negara juga melalui pengantar bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara.

Mereka ini belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu sewaktu di sekolah. mengikuti kuliah, merujuk bahan ilmu, dan menulis tesis di universiti-universiti luar negara kerana mereka pernah belajar bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua sejak tahun satu.

Oleh itu reaksi dan empati daripada Pengerusi Permuafakan Badan Ilmiah Nasional (Pembina) Datuk Abdul Ghani Othman yang menganggap dasar PPSMI berasaskan emosi dan persepsi, tanpa kajian dan perancangan rapi merupakan pendirian telus dan terikat dengan etika dan pencapaian dispilin ilmu ketika membentangkan kajian PPSMI bersama-sama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) di kolokium mengenai PPSMI anjuran NGO itu di Shah Alam akhir Jun lalu.

Menurutnya PPSMI menyebabkan bertambah ramai murid gagal dalam mata pelajaran Sains dan Matematik di pelbagai peringkat. Beliau menyifatkan masalah dalam sistem pendidikan berlaku disebabkan terlalu banyak kompromi pemimpin politik. Apabila banyak komporomi, keputusan pemimpin tidak rasional. kerana orang politik hendak cepat. Sedangkan proses pendidikan tidak ada jalan pintas apa lagi jalan singkat menguasai ilmu dalam bahasa asing.

Sementara Prof Diraja Ungku Aziz menegaskan, tindakan kerajaan memperkenalkan PPSMI enam tahun lalu sebagai “tindakan gila” kerana Matematik menggunakan “bahasa simbol” yakni melalui angka, nombor dan penggunaan rumus tertentu. Selain menyokong saranan Pembina supaya PPSMI dimansuhkan di semua peringkat, Ungku Aziz mencadangkan masa pengajaran bahasa diajar secara tetap tiga hingga empat jam seminggu, selain menggunakan kaedah pembelajaran terkini.

Selanjutnya A.Samad Said, Sasterawan Negara yang rela hilang gelaran dan terus berjuang mendaulatkan bahasa Melayu melalui pelbagai medium dan podium terutama dalam Pilihan raya menjadi penentuan prinsip menentang dasar pada pegangnya tidak boleh terlepas daripada apa yang bergelora dalam jiwa nusa.

Dasar yang diputuskan Tun Mahathir telah mengetepikan bahasa Melayu dan membawa kesan buruk terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu untuk pendidikan pelajar di sekolah rendah dan menengah malahan hilang jati diri dan tamadun bangsa. Sekali gus bangsa mulia ini diseret dalam lembah globalisasi yang mendominasi nilai-nilai moral, kebebasan dan meterialistik semata-mata.

Bangkit menyanggah dan kemuncaknya demontrasi ke Istana Negara melalui Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang dipimpin oleh Datuk Dr Hassan Ahmad, mengatakan bahawa bahasa Melayu berkembang pesat sebagai bahasa pelbagai disiplin ilmu termasuk kesusasteraan tinggi selepas Islam datang ke dunia Melayu pada abad ke-12 dengan tulisan Pallava, sebelum berubah kepada tulisan jawi pada zaman klasik.

Selain itu, kewujudan pengarang ilmu metafizik-tasawuf seperti Hamzah Fansuri, Abdul Rauf al-Sinkili dan Syamsuddin al-Sumaterani didakwa lebih hebat daripada karya ahli falsafah Eropah, Rene Descartes.

Dr Hassan berkata, semua pengarang Melayu itu, jauh lebih hebat kerana tidak melakukan kesilapan sebagaimana Descartes yang ditolak ahli falsafah kontemporari Barat, iaitu memisahkan minda daripada roh, selain karyanya seolah-olah meniru karya Imam al-Ghazali yang ditulis 600 tahun lebih awal.

Beliau menegaskan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi di rantau ini sejak abad ke-8 dan berkembang pesat selepas kedatangan Islam sehingga ramai ulama dan pemikir berbahasa Melayu di Sumatera seperti Pasai, dwilinguis yakni menguasai bahasa Melayu, dan bahasa Arab sebagai bahasa kedua.

Manakala pensyarah Jabatan Matematik, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Mat Rofa Ismail, dapatan kajian etnomatematik tentang warisan pemikiran matematik kaum etnik, menemui pelbagai khazanah Melayu dalam pelbagai disiplin ilmu seperti matematik, perubatan, mantik, falsafah, falak dan kosmologi yang diungkapkan dalam bahasa Melayu membuktikan bahawa bahasa Melayu telah menjadi bahasa ilmiah di persada pendidikan negara sekian lama.

Selain itu, dalam konteks kepustakaan ilmu astronomi, banyak karya dan manuskrip dalam pengajian tradisi Melayu ditinggalkan ulama silam, sama ada dalam bentuk karya asli atau saduran daripada kitab falak berbahasa Arab daripada tamadun Islam.

Antaranya Minhaj al-Qawim pada Mengetahui Hisab dan Taqwim tulisan Syeikh Abdul Rahman Muhammad Ali al-Fatani; Ilmu Falak (Syeikh Ahmad al-Fatani); Miftah ad-Din (Syeikh Muhammad Ali Abdul Mutalib al-Minangkabawi) dan Natijah al-Umm (Syeikh Tahir Jalaluddin Johor). Miftah al-Ta’lim (Umar Nurudin al-Kelantani); Pati Kiraan pada Menentukan Waktu yang Lima dengan Hala Qiblat dengan Logaritma (Syeikh Tahir Jalaluddin Perak).

Dalam disiplin perubatan, bahasa Melayu mengungkap ilmu perubatan dan lulusan UKM jadi bukti. Upayanya sebagai bahasa pengantar sudah berjaya melahirkan doktor berkemahiran dwibahasa yang diperlukan dalam dunia perubatan.

Prof Datuk Dr Lokman Saim selaku Dekan Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), antara generasi pertama bidang perubatan, iaitu pada awal 1980-an yang menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dan berjaya dalam bidang masing-masing.

Kini beliau bertanggungjawab membantu pembentukan Program Implan Koklea di Pakistan dan Brunei Darussalam. Selain menjadi pakar bedah implan dan pakar runding di negara berkenaan termasuk Indonesia di samping mentor Program Implan Koklear UKM dan pakar bedah tekak (ENT), telinga dan hidung pertama yang membuat implant koklea di negara ini.

Kuasa bahasa dan masyarakat bahasa yang majoriti dari sekolah aliran Melayu baik di bandar mahupun luar bandar lebih memudahkan belajar perubatan dalam bahasa Melayu untuk memahami konsep perubatan. Namun penguasaan bahasa Inggeris tidak diabaikan malah dipertingkatkan melalui komunikasi dengan doktor pakar yang kebanyakannya lebih fasih dalam bahasa Inggeris.

Kuasa bahasa yang pertama ialah bahasa Melayu dan yang utama pula bahasa Inggeris, menjadi nilai tambah untuk pelajar melanjutkan kepakaran ke luar negara, malah UKM sendiri mewujudkan latihan kepakaran dengan menggunakan bahasa Melayu.

Beliau mengakui bidang perubatan memerlukan pembabitan pada peringkat antarabangsa, tetapi istilah ilmu perubatan dalam bahasa Melayu tidak meralatkan medan wacana dalam bahasa Inggeris kerana tiada perbezaan istilah yang ketara antara dua bahasa berkenaan.

Penguasaan disiplin ilmu dan kepakaran serta pemahaman konsep lebih utama sekali gus membuktikan pakar perubatan di negara ini mampu bersaing dengan profesional dari luar negara.

Akhirnya GAPENA menolak PPSMI dan mengekalkan bahasa Melayu sebagai pengantar pada semua peringkat dalam proses pendidikan negara kerana banyak menimbulkan masalah terutama kepada pelajar luar bandar yang tidak mendapat kemudahan yang sama seperti pelajar di bandar. Malah sebilangan guru tidak mahu berkhidmat di luar bandar, di pedalaman atau perkampungan masyarakat Orang Asli.

Justeru sikap dan jiwa berbahasa Melayu, tanpa menafikan kepentingan menguasai bahasa Inggeris membuktikan bahasa Melayu setanding dengan bahasa utama PBB dalam apa-apa jua disiplin ilmu dan bidang professional.

HAJI ZULKEFLEE HJ YAACOB (PhD)
Kota Bharu,
Kelantan

Maklumat ini telah diterbitkan pada Friday, July 3rd, 2009 dalam kategori berita. Anda boleh mengikuti komen berkaitan maklumat ini melalui feed RSS 2.0. Anda boleh meninggalkan komen , atau trackback daripada laman web anda.

Leave a Reply


  AKHBAR ALTERNATIF   AKHBAR PERDANA   RADIO  &  TV   PERTUBUHAN / NGO   BICARA AGAMA
# TKOdaily
# Malaysiakini
# Harakahdaily
# Sabahkini
# Siasahdaily
# Detikdaily
# Klpos.com
# MalaysiaDigest
# Tranungkite
# Buletin Online
# Berita Harian
# Utusan Malaysia
# Bernama
# Harian Metro
# Sinar Harian
# MStar Online
# Berita RTM
# Sabah Tourism
# SabahTimes
# DailyExpress
# WebTV Pas
# WTV8
# TV Ceramah
# Grapes Nasyid
# Kuliah.net
# Darulsalam
# Era FM
# Ikim FM
# Muzik FM
# Nasyid FM
# IKIM
# Fomca
# Aliran
# Suaram
# Amal Malaysia
# Halal Jakim
# Bersih
# UMS
# Sabah EDU
# Info Sabah
# Zaharuddin
# Ust. Nasrudin
# Saifulislam
# Ilmu & Ulama
# Harun Yahya
# Minda Super
# Jarum Emas
# Dr Mohd Asri
# Warisan Nabawi
# Mesra Rakyat

 

 

Hakcipta @ 2008 Sabahdaily.com

Email : sabahdaily[a]gmail.com

Powered by FeedBurner Mesothelioma Add to Google Reader or Homepage Add to Technorati Favorites