SHAH ALAM – Ketua Pembangkang hari ini mendesak Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim merombak portfolio barisan Exconya terutama yang melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo berkata, barisan Exco sedia ada gagal melaksanakan tugas dengan baik, oleh itu rombakan segera perlu dilakukan.
Katanya, dakwaan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengenai penglibatan salah seorang Exco dengan kumpulan kongsi gelap dan pelbagai lagi aktiviti haram membuktikan kelemahan barisan Exco sedia ada.
”Saya tidak mahu terlibat dalam pertelagahan di antara mereka. Namun, saya melihat Exco yang ada ketika ini tidak melaksanakan tanggungjawab membangunkan negeri termasuk gagal menghormati peraturan serta undang-undang.
”Jadi lebih baik buat rombakan, bagi orang lain pula jadi Exco,” katanya ketika ditemui selepas sesi tengah hari Sidang Dewan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Choo Keong yang membuat dakwaan tersebut dalam blognya, http://weechookeong.blogspot.com bagaimanapun tidak menamakan individu berkenan.
Beliau mendakwa Exco terbabit menggunakan pejabatnya untuk mengadakan pertemuan dengan individu-individu yang mempunyai kaitan dengan aktiviti haram.
Dalam pada itu, Mohd. Khir memberitahu, berdasarkan laporan Majlis Keselamatan Negara (MKN), bilangan pusat urut dan judi di Selangor semakin meningkat daripada 700 kepada 4,000 ketika ini.
Beliau menegaskan, pertambahan itu tidak sepatutnya berlaku kerana kerajaan negeri di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) telah membekukan lesen baru premis berkenaan sejak 2006.
”Berbeza dengan semasa pentadbiran BN dulu, ada premis terbabit beroperasi tanpa lesen dan tindakan juga turut diambil.
”Sekarang saya nampak premis tanpa lesen ini semakin bertambah, seolah-olah tiada tindakan yang diambil,” ujarnya.
-UTUSAN

























