TENOM: Para pengusaha pelancongan tempatan diseru agar menyediakan satu pakej kemudahan dan perkhidmatan yang terdapat bagi ketujuh tujuh destinasi pusat riadah dan pelancongan yang telah pun dikenal pasti disini untuk disenaraikan dalam kalendar pelancongan bagi semusim untuk memudahkan para pelancong merangsang lebih awal jadual kunjungan mereka.
“ Impian kita jika boleh… kita mahu anak tempatan menceburkan diri didalam Industri ini dan menjadi pengusaha pelancongan yang berjaya,” kata Datuk Ellron Alfred Angin Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.
Ellron berkata demikian kepada Harian Ekspress ketika turun padang meninjau sendiri perkembangan pelancongan didaerah ini khususnya destinasi riadah dan pelancongan di pusat riadah white water rafting Pangi- Rayoh pada Khamis.
Beliau turut diiringi Pegawai Daerah Haji Faimin Kamin, Exco Pergerakan Pemuda UMNO pusat Jamawi Jaafar, ketua ketua parti komponen Barisan Nasional (BN) dan Ahli Jawatankuasa Pergerakan UMNO Tenom.
Ellron seterusnya berkata, peluang untuk memajukan sektor pelancongan disini amat berpotensi jika dieksploitasikan dengan lebih serius, kerana terdapat beberapa destinasi yang amat menarik selain dari aspek keaslian alam flora dan fauna, yang disifatkannya belum ada berlaku dinegara Negara lain di Asia Tenggara.
Dalam pada itu, Ellron meminta Pegawai Daerah disini supaya menyenaraikan beberapa projek untuk menaiktaraf frasarana pelancongan yang terdapat disini, dalam usaha untuk memberi keselesaan kepada para pelancong supaya kedatangan mereka terus meningkat dari masa ke semasa.
Ketika ditanya mengenai perkhidmatan pengangkutan untuk mengangkut para pelancong ke Pangi dan Rayoh untuk riadah white water rafting, sedangkan perkhidmatan keritapi masih belum boleh digunakan beliau berkata:
“ Kita tidak galakkan para pelancong menggunakan troli buatan sendiri sebagai pengangkutan mereka ke Pangi, kerana boleh mengundang bahaya, malah jika sesuatu perkara buruk berlaku, imej Negara kita akan tercemar termasuklah industri pelancongan ,” jelas Ellron.
“ Kita menyarankan agar para pengusaha pelancongan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Keritapi Negeri Sabah untuk menstruktur semula penjadualan kekerapan perkhidmatannya ke Pangi dan Rayoh khas untuk para pelancong disitu,” tambah Ellron lagi.
Ellron turut mencadangkan kepada para pengusaha pelancongan disini supaya mencetuskan idea yang lebih kreatif dengan mencipta kepelbagaian produk pelancongan sebagai acara sampingan dengan menokok tambah acara kebudayaan, berkayak mahupun mendaki cerun (hiking).
Dengan penambahan beberapa acara yang menarik kata Ellron, pasti para pelancong lebih berminat tinggal didaerah ini untuk beberapa hari lagi.
Berhubung dengan permohonan beberapa pemimpin BN disini untuk membina sebuah Rumah Kebudayaan yang mirip dengan ‘Home stay’ di Pangi, Ellron berkata kemungkinan kerajaan akan menimbang permohonan itu berdasarkan kesesuaian keperluan.
Oleh: Mail Mathew






















Leave a Reply