Sunday, December 12, 2010

Suami cekup isteri curang

Geram kerana isterinya berlaku curang, seorang suami bukan saja nekad menghubungi Pejabat Agama Daerah Langkawi (Padal), tetapi turut menampar isterinya yang berusia 36 tahun bersama pasangannya berusia 50 tahun ketika mereka ditahan pihak berkuasa itu kerana disyaki berkhalwat di sebuah rumah di Kuah, Langkawi, awal pagi semalam. Gambar fail

Suami berusia 40-an itu dikatakan sudah hilang sabar dengan tindakan isterinya itu yang kerap membawa lelaki lain pulang ke rumah sejak beberapa bulan lalu.

Difahamkan, dia dan isterinya kini dalam proses perceraian dan tinggal berasingan sejak beberapa bulan lalu dan ia berkemungkinan berpunca akibat sikap wanita itu yang berlaku curang di belakang suaminya.

Menurut sumber Padal, pihaknya yang menerima maklumat daripada lelaki terbabit kira-kira jam 4 pagi bergegas ke lokasi dan mendapati keadaan rumah itu gelap dan pintu berkunci dari dalam.

Beliau berkata, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, seorang lelaki berusia 50 tahun yang berseluar panjang dan tidak berbaju membukanya lalu membenarkan pemeriksaan dijalankan.

“Lelaki itu memberi alasan terpaksa membuka baju kerana basah kuyup akibat hujan ketika dalam perjalanan ke rumah wanita itu dengan menunggang motosikal.

“Hasil pemeriksaan menemui wanita terbabit yang memakai baju dan seluar ketat berada di dalam rumah itu dan dalam keadaan takut selepas mendapati suaminya turut berada bersama kami,” katanya.

Sumber itu berkata, pasangan itu gagal menunjukkan sebarang bukti hubungan mahram atau suami isteri menyebabkan mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat.

Katanya, ketika serbuan, seorang kanak-kanak perempuan dipercayai anak pasangan suami isteri itu yang berusia lapan tahun turut berada dalam rumah terbabit dan sedang nyenyak tidur.

“Suspek lelaki yang ditahan itu memberi alasan dia hanya menganggap wanita itu sebagai adik sendiri dan kerap menghantar makanan serta memberi wang kepadanya.

“Bagaimanapun, alasan itu tidak diterima kerana ketika serbuan dilakukan, pintu rumah itu berkunci dari dalam sehingga menimbul syak mereka melakukan maksiat,” katanya.

Difahamkan, lelaki itu sudah mempunyai isteri serta tiga anak tetapi kerap ke rumah ‘adik angkatnya’ itu untuk berkongsi kasih sayang antara abang dan adik.

Lebih malang lagi apabila suri rumah itu dan pasangannya terpaksa bermalam dalam lokap pada malam itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi selepas tiada penjamin untuk menjamin mereka di pejabat agama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 9(1) dan (2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 kerana disyaki berkhalwat dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali. -hm

Komen Anda

0 Responses to " Suami cekup isteri curang "