Sunday, January 2, 2011

Kuasa Sihir dan Khadam

Di dunia ini, ramai dapat kita lihat orang yang mempunyai pelbagai kelebihan yang luar biasa. Selalunya segala kelebihan tersebut berpunca dari amalan-amalan tertentu yang mereka amalkan untuk sekian lama.

Kelebihan-kelebihan itu termasuklah kebal, tak lut ditetak parang tajam, pandai mengubati penyakit, boleh ghaib, boleh jalan di atas air, boleh terbang di udara, boleh hidup dalam air, boleh hidup dalam tanah, boleh nampak benda-benda yang biasanya tidak boleh dilihat oleh mata kasar, boleh mengetahui siapa yang akan datang ke rumahnya walaupun orang itu belum sampai dan bermacam-macam lagi perkara-perkara pelik yang mencarik adat.

Umumnya, perkara tersebut boleh berasal dari dua sumber. Pertama melalui ilmu sihir yang diajar oleh syaitan dan kedua dari sumber yang hak dan benar.

Kuasa Sihir : Tentang sihir, jelas kedudukannya adalah haram. Sihir itu bersyarikat dan bersekutu dengan syaitan. Ia tersimpang dari jalan kebenaran. Natijah dari sihir hanyalah kesesatan, kerosakan, kemusnahan dan penderitaan bagi umat manusia. Walaupun begitu, sihir mempunyai kuasa dan kehebatan yang luar biasa sebagaimana diceritakan di dalam al-Quran tentang kehebatan sihir di zaman Firaun;

FirmanNya yang bermaksud :

Berkata mereka (ahli sihir): Wahai Musa! Adakah engkau melemparkan (tongkatmu) dan adakah kami yang mula melemparkan terlebih dahulu. Sahut Musa: Bahkan lemparkan olehmu (terlebih dahulu). Lalu mereka lemparkan, tiba-tiba tali-tali dan tongkat-tongkat mereka dikhayalkan (dibayangkan) kepada Musa, bahawa ia (menjadi ular) yang menjalar kerana sihir mereka. Lalu mereka menyembunyikan ketakutan di dalam hatinya. Berfirman Kami : Jangan kamu takut (wahai Musa)! Sesungguhnya kamulah yang akan menang. Dan lemparkan (tongkat) di tangan kananmu, nanti ditangkapnya (ditelan) apa yang mereka perbuat. Apa yang mereka perbuat hanya tipu daya tukang sihir sahaja dan tukang sihir itu tidak akan menang tentang apa yang didatangkannya. (Surah Thaaha : ayat 65-69)

Kuasa Khadam : Tentang pelbagai kelebihan yang berasal dari sumber yang mempunyai dua bentuk hak, ada yang diperolehi dari amalan-amalan sufi dan ada yang diperolehi dari amalan-amalan khadam.
Orang yang mendapat pelbagai kelebihan melalui amalan khadam, mereka ini kuat beramal. Orang ini turut bersembahyang, puasa, zakat dan mengerjakan haji. Ditambah pula dengan wirid, zikir dan membaca ayat-ayat Quran yang tertentu sehingga beribu atau beratus ribu kali banyaknya.

Orang ini beramal bukan untuk Tuhan atau untuk menuju kepada Tuhan. Dia juga tidak membersihkan dan membaiki hatinya. Dia tidak bermujahadah melawan nafsunya. Jika dia tidak terlibat dengan maksiat, itu hanya kerana hendak menjaga pantang larang amalannya supaya amalannya tidak terbatal atau rosak.

Tujuannya beramal hanya semata-mata untuk mendapatkan kelebihan dari amalan dan ayat-ayat yang dibaca dan diwiridkannya itu. Dia mahukan kelebihan, dia bukan mahukan Tuhan. Memang setiap ayat al-Quran itu ada kelebihannya. Setiap ayat itu juga ada khadam yang menjaganya. Orang yang mengamalkan amalan khadam ini sebenarnya meminta kelebihan dari khadam itu sendiri dan bukan dari Tuhan.

Jika diberi sekalipun, khadam tersebut akan mempermain dan memperhambakannya. Khadam itu akan merasa dirinya lebih hebat dan lebih berkuasa darinya. Khadam tersebut tidak akan menghormatinya. Bagi orang sufi, Tuhan sendiri yang memberikannya kemuliaan walaupun kemuliaan dan kelebihan itu tidak dipinta olehnya.

Disebabkan itu, para khadam amat hormat dan akur kepada orang sufi seperti ini kerana dia adalah orang kesayangan Tuhan. Orang yang mengamalkan amalan khadam, memperoleh atau tidak kelebihan yang dia cari, dikhuatiri dia akan terjerumus dengan amalan syirik . Kerana dia beramal selain daripada Allah.

Yang susahnya, amalannya nampak seakan benar. Cakapnya turut banyak berkisar tentang hal-hal agama. Kecuali apabila menyebut tentang Allah atau Tuhan, dia banyak menggunakan istilah-istilah yang simbolik seperti HAK DIA, DIA PUNYA, BILA DIA KEHENDAK, NANTI DIA BAGILAH atau DIA LEBIH TAHU.

Jarang sekali dia menyebut nama Allah atau nama-nama Tuhan secara langsung. Dia juga jarang bercakap tentang Tuhan dan sifat-sifat Tuhan, hanya tentang segala kelebihan yang ada pada orang ini dan orang itu yang mengatakan mereka itu adalah pengamal khadam dan telah memperolehi pelbagai kelebihan.

Dia banyak mengenali orang-orang yang pernah memperoleh kelebihan melalui amalan khadam ini. Dia kurang mengenali para wali dan orang-orang Tuhan. Jika berhadapan dengan orang Tuhan atau wali Allah sekalipun, sememangnya dia tidak mengenalinya.

Akhlaknya seperti orang biasa. Seperti orang awam. Dia tidak terlibat dengan maksiat secara lahir tetapi hati atau jiwanya tidak halus dan tidak seni. Tidak nampak kesan mujahadah atau tarbiah pada dirinya. Orang yang terlibat dengan amalan khadam ini perlu disedar dan diberikan ilmu. Mereka perlu kembali kepada Tuhan dan bergantung harap sepenuhnya kepada Tuhan.

Mereka perlu berusaha untuk mendapatkan rahmat, keampunan dan kasih sayang Tuhan. Kelebihan yang mereka cari itu tidak ada makna apa sekalipun dan tiada nilai di sisi Allah.

Bukan itu yang dituntut oleh agama. Adalah lebih baik mereka memperbaiki diri, membersihkan diri, membersihkan hati dari segala sifat-sifat yang keji, bermujahadah mendidik hawa nafsu dan menanam segala sifat-sifat kehambaan dalam hati mereka seperti sifat tawaduk, sabar, tawakal, bergantung harap dengan Allah, rasa hina, rasa bersalah, rasa berdosa, rasa lemah, rasa kerdil dan rasa jahil di hadapan Tuhan Azza wa Jalla. Itulah sebenarnya jalan kebenaran.

Rujukan buku : Irhas, Mukjizat, Karamah, Maunah susunan Khairul Ghazali.



Sumber: okgcblogspot

Komen Anda

0 Responses to " Kuasa Sihir dan Khadam "