Sunday, July 3, 2011

Projek Gajah Putih vs Projek Kering Hati

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dicabar menjalankan siasatan terhadap semua projek pembangunan termasuk NKRA yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) kerana dikhuatiri dilaksanakan secara tidak telus dan diberikan kepada kontraktor yang tidak layak atau proksi atau kroni menteri berkenaan.

Timbalan Ketua Penerangan Pemuda AMK PKR Sabah, Citra Masadi, (Gambar) yang menghubungi Sabahkini.net mempunyai bukti yang boleh dijadikan alibi untuk menjalankan siasatan, sebagaimana yang telah diserahkan kepada SPRM, namun tidak dapat mendedahkannya secara terbuka di Sabahkini.net kerana bimbang akan mengganggu siasatan.

"Untuk apa bina tiang grid elektrik jika Sabah tidak mempunyai bekalan elektrik yang mencukupi? Semua projek ini bukan sahaja 'Projek Gajah Putih' tetapi 'Projek Hati Kering.' Projek rompak wang atas kesengsaraan rakyat," ujar Citra yang membidas Menteri KKLW, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menggunakan kedudukannya untuk kepentingan politik.

Penduduk di kawasan luar bandar seperti Kinabatangan, Kudat, Ranau, Kundasang, Kunak, Lahad Datu dan sebagainya kata Citra, hanya menjadi penonton kabel elektrik daripada Grid melintasi di awang-awang kepala mereka, namun hanya menikmati bekalan elektrik tidak sampai dua jam sehari.

Menurut Citra, daripada maklumat dalaman KKLW, beliau telah mengkaji lapan projek yang ditawarkan oleh KKLW, enam daripadanya melalui tender reka dan bina; manakala satu lagi tender adalah Sistem Bekalan Air Luar Bandar.

Walaupun kelihatannya seperti telus kerana tidak kurang daripada 30 syarikat menyertai tender berkenaan, namun ada yang meletakkan harga yang terlalu rendah atau di luar jangkaan sedangkan kesemua kontraktor yang menyertai tender berkenaan ialah PKK Kelas A yang telah ‘melawat’ tapak projek sebagai pra-syarat memasuki tender berkenaan.

“Beberapa orang pengarah syarikat yang saya hubungi mengakui mereka tidak tahu menahu syarikat mereka memperoleh projek yang saya sebutkan. Mereka hairan bagaimana syarikat mereka boleh mendapat tender tersebut sedangkan mereka tidak pernah menandatangani sebarang dokumen tender atau resolusi syarikat,” kata Citra yang menjelaskan beliau mengenali ramai kontraktor Kelas A di Sabah kerana beliau juga seorang kontraktor perladangan.

Adalah tidak munasabah, kata Citra, Kontraktor Kelas A sengaja membazirkan wang RM500 untuk membeli dokumen tender tidak termasuk lawatan tapak sedangkan dalam keadaan ekonomi gawat sekarang, kebanyakan kontraktor berhati-hati membuat perbelanjaan.

Namun kata Citra, ada beberapa kontraktor mengakui beberapa pihak, wakil menteri yang meminta surat kuasa untuk mewakili syarikat tersebut mengambil borang tender, tetapi bukannya menandatangani dokumen tender.

“Saya kenalpasti ada tokoh politik yang meminjam lesen PKK kelas A milik rakan saya dengan janji untuk memberi saguhati 5 hingga 10 % tertakluk kepada jenis kerja dan nilai projek, namun akhirnya mereka membuka bank akaun sendiri setelah memperoleh lesen perniagaan baru atas nama yang sama. Akibatnya rakan saya terpaksa menanggung beban cukai pendapatan beratus ribu ringgit,” ujar Citra yang memaklumkan rakannya hanya dibayar satu peratus sahaja daripada nilai projek sekalipun lesennya mendapat kontrak berkenaan tetapi disub-kontrak kepada beberapa sub-kontraktor lain sehingga marginnya keuntungan terlalu rendah.

Berbalik kepada tender terpilih iaitu Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di Negeri Sabah secara Reka dan Bina, Citra telah memilih empat kontrak contoh untuk dianalisa iaitu tender KKLW.T.2/2011, KKLW.T.3/2011, KKLW.T.5/2011, KKLW.T.6/2011 dan satu projek bekalan air KKLW.T.7/2011.

Tender KKLW.T.2/2011 kata Citra ialah bagi Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (Belb) Sambungan Talian Grid Zon Dua(2) Negeri Sabah Tahun 2011-2012 Secara Reka Dan Bina yang ditawarkan kepada Light Speed Electrical Sdn.Bhd dengan harga RM50 juta dengan tempoh penyiapan selama 18 bulan.

Tender KKLW.T.2/2011 ini disertai 31 kontraktor dan Light Speed Electrical Sdn.Bhd merupakan tender yang ke-9 terendah. Harga terendah yang ditawarkan ialah RM 30,774,266.00 dengan tempoh penyiapan selama 2 Minggu; manakala harga tertinggi ialah RM 60,538,976.00 dan tempoh penyiapan selama 18 bulan.

Sekalipun mempunyai lesen Kelas A, tetapi mengikut rekod CIDB, Light Speed Electrical Sdn.Bhd yang dimiliki oleh Jaidin Bin Takun dan Suhai Bin Lidin, mempunyai modal berbayar RM1 juta tidak pernah menjalankan sebarang kontrak kerja melainkan kontrak yang ditawarkan ini.

Manakala Tender KKLW.T.3/2011 bagi Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (Belb) Sambungan Talian Grid Negeri Sabah Tahun 2011-2012 Zon 3 Secara Reka Dan Bina yang diberikan kepada Emas Ramai Sdn.Bhd dengan harga RM 46,479,946.70 dengan tempoh siap selama 18 bulan.

Kata Citra, harga tender yang ditawarkan Emas Ramai Sdn.Bhd ialah kesepuluh terendah daripada yang ditawarkan 32 syarikat yang menyertai tender berkenaan; iaitu harga terendah ialah RM 31,819,957 (2 Minggu) dan tertinggi RM 54,736,000 (72 Minggu).

Syarikat yang dimiliki Winston Gareth Majaham, Jiiti @ Betty Binti Mijol dan Thomas Douglas ini mempunyai modal berbayar RM1 juta sebelum ini pernah menjalankan Tender KKLW/BELB/SA/41/09 iaitu Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Talian Grid Negeri Sabah Zon Tiga B (3B) Tahun 2009-2010 Secara Rundingan Terus Berasaskan Kaedah 'Design & Build' pada 24 Julai 2009 dengan harga RM20 juta.

Manakala Tender KKLW.T.5/2011 bagi Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (Belb) Sambungan Talian Grid Zon Lima (5) Negeri Sabah telah disertai 31 syarikat, namun tender berkenaan diberikan kepada penender keenam terendah iaitu Bumi Handal Sdn.Bhd dengan kos RM 45,212,680 dan tempoh penyiapan selama 78 minggu.

Mengikut rekod tender, penender terendah menawarkan RM12,461,000 dengan tempoh penyiapan selama 72 minggu dan tender paling tinggi ialah RM 54,569,813.36 dan tempoh penyiapan yang sama.

Kata Citra, Bumi Handal Sdn.Bhd yang dimiliki Suhaizam Bin Suhaibul dan Weldy Chew mempunyai modal berbayar RM700,000; sebelum ini pernah menjalankan Kontrak Kudat Water Supply Scheme ‘Water Treatment Works And Milau Dam - SESB Power Supply’ pada 5 November 2009 dengan kos RM 9,199,670.10.

Bumi Handal Sdn.Bhd dikenalpasti sebagai syarikat milik kroni Shafie yang menggunakan Suhaizam Bin Suhaibul dan Weldy Chew sebagai nominee kerana telah diberikan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Talian Grid Negeri Sabah Zon Lima (5A) Tahun 2009-2010 Secara Rundingan Terus Berasaskan Kaedah 'Design & Build’ melalui tender KKLW/BELB/SA/40/09 pada 24 Julai 2009 dengan kos RM60 juta.

Tegas Citra lagi, beliau juga mendapati Tender KKLW.T.6/2011 bagi Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Sambungan Talian Grid Zon Enam (6) Negeri Sabah Tahun 2011-2012 (REKA & BINA) disertai oleh 35 kontraktor hantu kerana semua borang tender telah dibeli secara borong oleh pihak tertentu.

Lebih mengujakan beliau kata Citra, harga kontrak paling rendah ialah RM 9,519,000 dan harga tertinggi ialah RM61,136,558.20; namun kontrak berkenaan dianugerahkan kepada penender ke 15 terendah iaitu Akif Jaya Sdn.Bhd dengan harga RM 53,303,701.79 dengan tempoh penyiapan selama 72 minggu.

Menurut Citra, Akif Jaya Sdn.Bhd yang didaftarkan atas nama Wong Kui Foh dan Noraini Bte Abd Fatah sebagai pemilik mempunyai modal berbayar RM1 juta, digunakan oleh Senator Chin Su Phin untuk mendapatkan kontrak ini dan sebelumnya termasuk HQ.29/2011(F)- Naiktaraf Jalan Kg. Bangkahak Baru-Kg. Zing, Kota Belud pada 19 April 2011 dengan harga RM 10,352,227 dan. Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Talian Grid Negeri Sabah Zon Enam (6) Tahun 2009-2010 Secara Rundingan Terus Berasaskan Kaedah 'Design & Build’ pada 24 Julai 2009 dengan kos RM 30 juta.

Manakala Tender KKLW.T.7/2011 bagi Projek Sistem Bekalan Air Di Kg.Rancangan Silabukan, Lahad Datu, Sabah yang disertai 34 syarikat turut menawarkan harga paling rendah iaitu RM25,175,862.90 dengan tempoh penyiapan selama 12 bulan dan tender tertinggi RM32,505 ,894 dengan tempoh penyiapan yang tidak dinyatakan.

Tender ini diberikan kepada Elmar Engineering Services Sdn.Bhd iaitu syarikat yang menawarkan harga ketiga terendah iaitu RM25,287,395 dengan tempoh penyiapan 18 bulan

Elmar Engineering Services Sdn.Bhd sebelum ini pernah menjalankan projek Merekabentuk, Membina & Menyiapkan 2,400 Unit Rumah Pangsa 5 Tingkat Bagi Program Perumahan Rakyat (PPR Disewa) Di Telipok Ria pada 18 Ogos 2004 dengan kos RM 143,640,000 juta dan projek bekalan air ini merupakan projek yang pertama kali dijalankan syarikat ini.

Mengikut rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Elmar Engineering Sdn.Bhd dimiliki oleh Abg Mohd Jorgy Bin Juana @ Bujang, Khoo Puay Guan, Matdin Bin Samad, D Halimaton Hj Juana, Lee Jew Sai dan Zamani Bin Basri dengan modal berbayar RM750,000; namun ramai pengarah dan pemilik syarikat tidak mengetahui syarikat mereka memperolehi kontrak berkenaan.

Amalan yang sama, kata Citra, turut berlaku dalam tender runding harga, terutama tender NKRA yang melambung sehingga 300% daripada nilai kontrak semasa, bagaimanapun beliau akan membongkarkan isu tender runding harga apabila tiba masanya kelak.

Citra turut mengecam tindakan tidak berperi kemanusiaan KKLW meneruskan penggunakan bateri asid plumbum yang berbahaya bagi Tender KKLW.T.67/2011 bagi Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Sistem Solar Hibrid Fasa II Di Pulau Banggi, Sabah Secara Reka Dan Bina yang ditutup 22 Jun 2011.

(NOTA : Jayanthi Geetha Sukumaran berkelulusan Ijazah Kewartawanan daripada Universiti Kentucky, Amerika Syarikat merupakan Sub-Editor di Sabahkini.net sejak 25 Jun 2011)

..Lagi berita dan gambar berkaitan : www.sabahkini.net

Komen Anda

8 Responses to " Projek Gajah Putih vs Projek Kering Hati "
Anonymous said...
July 4, 2011 at 9:16 AM

Takkan sendiri bagi projek, sendiri ambil projek? Macam mana syarikat2 lain nak maju kalau hampir kesemua projek dibolot oleh orang berkepentingan? Ini tidak adil.


Lady Morgana said...
July 4, 2011 at 9:36 AM

Harap SPRM dapat menyiasat akan hal ini dengan telus dan tidak melindungi sesiapa. Undang2 tetap undang2 dan setiap yang bersalah harus dikenakan hukuman.


say said...
July 4, 2011 at 9:46 AM

Projek pembangunan kenalah beri kepada kontraktor yang layak dan dapat menjalankan tugas dengan baik. nanti kalau silap beri, membazir wang kerajaan ja nanti.


faz said...
July 4, 2011 at 10:02 AM

jika benar seperti yang diperkatakan, pastikan ada bukti yang kukuh..jangan hanya bercakap kosong saja.


zul said...
July 4, 2011 at 10:14 AM

Harap SPRM akan siasat dakwaan ini jika ada bukti.


welson said...
July 4, 2011 at 2:11 PM

Pembinaan tiang besar ini mungkin ada perancangan untuk masa hadapan. Sekiranya Sabah mempunyai kuasa elektrik yang cukup pada akan datang maka tidak perlu lagi membina tiang yang didakwa oleh PKR. Maka masalah elektrik tidak akan berlaku.


junta said...
July 5, 2011 at 9:18 AM

tiang itu takkan dibina jika tiada fungsi. kita akan nampak jg fungsinya nnti.


neji said...
July 5, 2011 at 10:23 AM

biasanya pihak KKLW akan tampil buat penjelasan.. tapi kalau senyap ja,, maknanya kantoi la tu..