Tuesday, March 19, 2013

BN sudah siap senarai akhir calon PRU13

Pemimpin Barisan Nasional (BN) bertemu malam semalam bagi menyiapkan senarai akhir calon bagi 222 ahli parlimen dan 505 ahli dewan undangan negeri untuk Pilihan Raya 2013, yang akan berlangsung kurang dari sebulan, menurut sumber melaporkan.

The Malaysian Insider difahamkan Perdana Menteri dan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak mempengerusikan mesyuarat bersama timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pemimpin lain bagi membuat keputusan tentang calon.

“PM Najib (gambar) bertemu dengan pemimpin BN dan juga penyusun strategi semalam tentang senarai akhir,” kata sumber tersebut kepada The Malaysian Insider, menunjukkan pilihan raya “semakin hampir”.

Sumber tersebut menambah terdapat muka baru walaupun Najib dijangka mengekalkan muka lama, terutamanya yang mendapat markah yang tinggi dalam laporan tahunan kerajaan yang akan diumumkan malam ini.

Perdana menteri akan memberi ucapan yang akan disiarkan secara langsung ke seluruh negara bagi menyenaraikan pencapaian kerajaannya seperti “ucapan negara” yang diadakan oleh Amerika Syarikat.

Beliau akan berucap mengenai proses Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dalam ucapan selama 45 minit.

“Beberapa orang menteri akan digugurkan. Yang lain akan diubah apabila masanya tiba untuk menamakan Kabinet baru selepas pilihan raya,” kata sumber tersebut yang yakin BN akan berjaya menubuhkan kerajaan akan datang.

Akhbar berbahasa Inggeris The Star pagi ini melaporkan BN akan menggugurkan 40 peratus veteran pada pilihan raya akan datang, berkata Najib telah mengenalpasti mereka dan ada yang secara sukarela mengundurkan diri.

The Star menamakan mereka yang mengundurkan diri — bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz (Kuala Kangsar), bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Azmi Khalid (Padang Besar), bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad (Kangar) dan bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Ong Ka Ting (Kulai).

Akhbar tersebut melaporkan antara yang sukarela mengundurkan diri termasuk bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar untuk Kepala Batas dan Kota Tinggi, tetapi Najib sedang menimbangkan perkara tersebut kerana tidak mempunyai “calon yang sesuai” setakat ini.

Antara yang dikatakan akan menghadapi pengguguran termasuklah ahli parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Tenaga dan Teknologi Hijau Datuk Peter Chin Fah Kui, presiden SUPP yang menjadi ahli parlimen Miri selama enam penggal.

Akhbar milik MCA itu melaporkan beberapa ahli parlimen akan bersara adalah bekas Menteri Sumber Manusia Tan Sri Dr Fong Chan Onn (Alor Gajah) dan bekas Menteri Pelancongan Datuk Seri Leo Michael Toyad (Mukah).

Tiga bekas timbalan menteri yang dijangka tidak akan disenaraikan termasuk Tengku Tan Sri Azlan Sultan Abu Bakar, Datuk Noraini Ahmad dan Datuk Seri Sulaiman Taib. Mereka adalah ahli parlimen Jerantut, Parit Sulong dan Kota Samarahan. -TMI

Komen Anda

3 Responses to " BN sudah siap senarai akhir calon PRU13 "
Anonymous said...
March 19, 2013 at 10:39 PM

Eh..nama Najib masih trsenarai nmpak. Dia pun bukan Winnable Candidate pon utk prliment Pekan


rakyat biasa said...
April 4, 2013 at 6:52 AM

Patut sokong pemimpin yang berkepimpinan rakyat,membawa rakyat biasa dan miskin menuju ke hadapan..


rakyat biasa said...
April 4, 2013 at 6:53 AM

Patut sokong pemimpin yang berkepimpinan rakyat,membawa rakyat biasa dan miskin menuju ke hadapan..