Thursday, August 28, 2014

Peserta sukan bogel dipenjara sebulan, denda RM5,000

Sepuluh peserta kem sukan bogel di Teluk Bahang, Pulau Pinang didakwa di Mahkamah Majistret Balik Pulau hari ini.

Enam daripada mereka mengaku bersalah manakala empat lagi meminta dibicarakan terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 394 (a) Kanun Keseksaan.



Mereka didakwa mengambil bahagian dalam acara itu di Taman Negara di Teluk Kampi, Teluk Bahang pada 31 Mei dan menimbulkan kegusaran kepada orang awam.

Video mengenainya telah dimuat naik di YouTube dan mencetuskan kegusaran orang ramai.

Hakim Mohd Najib Ismail mendengar kes itu manakala pendakwaan dijalankan oleh DPP Albert Chan.

Mereka yang disabitkan hari ini ialah Loh Kok Hong, Mu Wai Peng, Chew Tok Hua, Chen Chia Wing, Justin Ng Ji Keng dan Albert Yam Kong Hoong.

Mereka dijatuhkan hukuman satu bulan penjara bermula hari ini dan denda RM 5,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.

Mereka yang mengaku tidak bersalah pula adalah Lionel Loo Joo Hong, Teh Gia Hoon, Kong Meng Leong dan R Nanda Kumar.

Yam, yang menghasilkan video itu, dikenakan hukuman tambahan enam bulan penjara.

Pertuduhan itu adalah mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan, kerana menghasilkan bahan lucah. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan, terdahulu dalam prosiding itu, Mohd Najib berkata Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana mempunyai pelbagai bangsa, agama, bahasa, budaya dan cara hidup tetapi masih boleh bersatu di bawah satu Rukun Negara.

"Rakyat Malaysia amat menitikberatkan soal adab sopan, rakyat tidak selesa dengan kelakuan negatif yang jelas telah menyimpang dari adab sopan dan perbuatan seperti ini perlu dihalang daripada berulang.

"Oleh itu mahkamah menjatuhkan hukuman yang dapat memberi pengajaran dan isyarat kepada masyarakat di luar, agar tidak melakukan kesalahan serupa," katanya.

Mahkamah membenarkan empat individu yang terdiri daripada tiga wanita dan seorang lelaki berkenaan diikat jamin RM4,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan semula 16 Oktober depan.

Teh dan Loh masing-masing diwakili peguam Jason Khor Jit Cheng dan Allen Choong, manakala Suppiah Thangaveloo adalah peguam pemerhati bagi Loh.

-mk
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " Peserta sukan bogel dipenjara sebulan, denda RM5,000 "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx