Friday, August 29, 2014

Tiga jenazah kumpulan ketiga dikeluar pada Jumaat

Tiga jenazah dari kumpulan ketiga mangsa nahas pesawat malang Malaysia Airlines (MAS) MH17 akan dikeluarkan dari Pusat Perubatan Tentera di Hilversum dekat sini pada tengah hari Jumaat.



Satu sumber yang mengesahkan perkara ini kepada Bernama, turut memaklumkan bahawa jenazah itu kemudian akan terus dibawa ke rumah mayat Monuta Innemee, S-Gravenhage kira-kira 90km dari pusat berkenaan untuk upacara pengurusan jenazah mengikut kepercayaan agama masing-masing.

Difahamkan proses dokumentasi tiga jenazah itu telah pun selesai pada Khamis.

Difahamkan juga, terdapat beberapa jenazah lagi akan turut dibawa keluar pada Jumaat, namun ia bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin pada Khamis dilaporkan berkata di Putrajaya bahawa istiadat penghormatan jenazah mangsa tragedi pesawat MH17 di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 2 September dijangka melibatkan sembilan jenazah termasuk dua warga asing.

Pada Jumaat lepas, kumpulan pertama 20 jenazah warga Malaysia yang melibatkan 11 penumpang dan sembilan anak kapal telah dibawa pulang ke Malaysia dari Amsterdam dengan sebuah pesawat khas Malaysia Airlines.

Satu lagi jenazah dihantar pulang pada Sabtu lepas manakala tiga jenazah dihantar pulang pada Ahad.

Pesawat Boeing 777-200 yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai.

Seramai 43 daripada mereka adalah warga Malaysia. - Bernama
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " Tiga jenazah kumpulan ketiga dikeluar pada Jumaat "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx