Wednesday, September 24, 2014

4 Exco PAS halang Selangor tumbang

PETALING JAYA: Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Samad berkata 4 Exco PAS yang kekal sebelum ini adalah di atas arahan PAS Pusat untuk terus bersama di dalam kerajaan dan sekaligus telah berjaya menyelamatkan kerajaan negeri.
Menurut Iskandar mereka juga telah mempertahankan kepentingan-kepentingan Pakatan Rakyat (PR) di dalam kerajaan.

“Terdapat saat dan ketika sepanjang satu setengah bulan yang lepas di mana kerajaan negeri hampir tumbang. Pada hakikatnya 4 orang Exco ini telah menghalang dari berlakunya satu pilihan raya negeri (PRN).

“Walaupun kesemua 4 Exco ini dari PAS tetapi mereka telah membawa semangat dan prinsip Pakatan Rakyat ke dalam kerajaan sepanjang tempoh tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, mereka telah memastikan perkhidmatan Ahli-Ahli Majlis PKR dan DAP diteruskan dan semua program-program yang dirancang oleh Exco yang diberhentikan perkhidmatan dapat berjalan dengan lancar.

“4 orang Exco ini juga dengan tegas menolak sebarang kerjasama dengan UMNO apabila menyatakan akan meletakkan jawatan jika UMNO dibawa masuk ke dalam kerajaan.

“Walau bagaimanapun sekarang bukanlah masanya untuk memandang ke belakang tetapi untuk melangkah ke hadapan dan berusaha untuk mengembalikan keyakinan penuh rakyat terhadap PR. Masanya untuk kembali meletakkan perjuangan memartabatkan rakyat di pentas utama,” jelasnya.

Katanya, bagi pihak 4 orang Exco yang menurut amalan perlu meletakkan jawatan bersama-sama Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, PAS Selangor mengucapkan terima kasih di atas sokongan dan dorongan yang telah diberikan oleh semua pihak.

“Kami juga mengucapkan tahniah kepada Mohamed Azmin Ali yang telah dilantik sebagai Menteri Besar (MB) Selangor yang baru.

“Mesyuarat PAS Pusat pada 17 Ogos lepas telah bersetuju untuk mencalonkan Azmin Ali sebagai salah seorang calon MB Selangor,” ujarnya.

Oleh yang demikian, PAS Selangor yakin dapat sama-sama bekerja dengan beliau demi kebaikan dan kemajuan rakyat negeri Selangor.

“Kami berharap di bawah pentadbiran beliau, prestasi cemerlang yang dicapai di bawah pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim akan dapat diteruskan.

“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada Khalid yang telah sentiasa meletakkan kepentingan rakyat di tempat yang paling atas dan telah membawa banyak pembaharuan ke negeri ini. Kami juga mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana PR masih mentadbir negeri Selangor,” katanya.

-fmt
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " 4 Exco PAS halang Selangor tumbang "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx