Sunday, September 7, 2014

Ada yang bakal terpelanting bila Hadi lawan PAS Pusat

Datuk Seri Abdul Hadi Awang kini tidak lagi mempedulikan Jawatankuasa PAS Pusat apabila menghantar nama dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR dan seorang Adun PAS sebagai calon menteri besar kepada Sultan Selangor.

Difahamkan nama yang dihantar adalah Dr Idris Ahmad (PKR), Yaakob Sapari (PKR) dan Iskandar Abdul Samad (PAS).



Khabar angin tersebar Istana Selangor akan mengangkat Iskandar sebagai menteri besar Selangor tidak lama lagi.

Presiden PAS itu bertindak secara unilateral dan meminggirkan keputusan mesyuarat 17 Ogos yang memutuskan untuk menamakan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya Mohamed Azmin Ali sebagai pengganti kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pimpinan-pimpinan tertinggi PAS yang lain dalam Jawatankuasa Pusat hanya mengetahui keputusan ini melalui media.

"Kami, AJK PAS Pusat tidak tahu menahu akan nama baru ini kerana ia tidak diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sebagai badan eksekutif yang mengendalikan urusan harian pentadbiran dan strategi parti," kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, merujuk kepada keputusan mesyuarat 17 Ogos yang ditandatangani kenyataan oleh Hadi sendiri.

Namun Hadi berkata beliau bertindak mengikut Perlembagaan parti. Bercakap pada sesi taklimat khas dengan ahli dan pemimpin PAS Terengganu di sebuah dewan terbuka di perkarangan Masjid Rusila pada Khamis, Hadi mengatakan beliau mempunyai kuasa untuk bertindak secara unilateral.

"Perlembagaan PAS mengatakan presiden ada hak untuk membuat keputusan dalam beberapa perkara yang berkait dengan parti dan ahli-ahli parti, timbalan, naib, ini dia kena dukung keputusan yang dibuat presiden," kata Hadi.

Bagaimanapun Zulhazmi Shariff, seorang peguam yang juga Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS mengatakan tindakan Hadi bertentangan dengan Perlembagaan parti apabila meminggirkan Jawatankuasa Pusat.

Menurut Zulhazmi dalam satu artikel yang dikirimkan kepada The Malaysian Insider baru-baru ini, tindakan Hadi menghantar tiga nama calon yang berlawanan dengan keputusan mesyuarat pada 17 Ogos 2014 menyebabkan presiden PAS itu melakukan perlanggaran mengikut Fasal 82 (1)(b),(c),(d) dan (g).

“Fasal 82(1)(b) presiden ingkar dengan Perlembagaan parti.

Perlembagaan secara jelas menyatakan tugas presiden hanya sebagai Ketua Eksekutif yang menjalankan tugas berpandukan keputusan mesyuarat JKPP, bukan pendirian peribadi.

“Fasal 82(1)(c) presiden ingkar dan tidak patuh arahan dan perintah Parti. Arahan dan perintah parti ialah keputusan mesyuarat pada 17 Ogos 2014 yang dilanggar oleh presiden apabila menghantar tiga nama.

“Fasal 82(1)(d) presiden gagal melaksanakan kewajipan yang ditugaskan oleh parti, iaitu patuh kepada keputusan mesyuarat 17 Ogos 2014.

“Fasal 82(1)(g) presiden gagal mengawal diri dan melakukan tindakan yang menyalahi atau merugikan parti. Jelas presiden menyalahi keputusan parti dan tindakan presiden menyebabkan parti rugi dari sudut persepsi masyarakat,” tulis Zulhazmi dalam artikelnya itu.

Menurut Zulhazmi, disebabkan pelanggaran terhadap Perlembagaan PAS yang dilakukan Hadi, tindakan tatatertib boleh diambil terhadap ahli Parlimen Marang itu.

Zulhazmi mencadangkan Jawatankuasa PAS Pusat menggunakan Fasal 82(9) untuk mengambil tindakan terhadap Hadi dan sesiapa yang terlibat bersama Presiden tanpa melalui Jawatankuasa Tatatertib.

“Tindakan tatatertib yang boleh diambil oleh JKPP mengikut Fasal 82(9) adalah sama seperti kuasa yang diberikan kepada Jawatankuasa Tatatertib iaitu yang disebut di dalam Fasal 82(6) seperti berikut memberi amaran, melucutkan hak-hak dalam parti, menggantung keahlian dan memecat dari menjadi ahli parti.”

Seorang pemimpin PAS Pusat memberitahu penulis terdapat perubahan besar yang berlaku dalam tindak-tanduk dan perlakuan Hadi selepas mengalami kesesakan nafas dan dimasukkan ke hospital pada penghujung Mei lalu.

“Selepas keluar dari hospital di Turki, tindak-tanduk dan sikap presiden berubah. Mungkin apa yang beliau lakukan sekarang didorong oleh keadaan kesihatannya yang tidak berapa baik,” kata aktivis PAS itu.

Dalam pertembungan ini, Hadi mempunyai banyak kelebihan berbanding Jawatankuasa PAS Pusat.

Hadi mendapat sokongan Majlis Syura Ulama, “mullah-mullah muda”, media arus perdana, Umno dan konsep “wala” ahli-ahli.

Mengulas mengenai penubuhan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), kumpulan pemimpin PAS yang mahu parti Islam itu terus bersama PR, Hadi berkata:

"Siapa hendak tubuh parti, silakan. Itu hak mereka. Kalau ada nyamuk seekor, susah juga kita hendak tidur," kata Hadi.

Krisis menteri besar Selangor akan berakhir dengan perpecahan PAS.
Dalam pertembungan ini, yang bakal berlaku sama ada Hadi atau majoriti pimpinan PAS Pusat akan terpelanting.

Kelebihan kini kepada Hadi kerana mengawal majoriti pewakilan PAS sedangkan pimpinan yang mahu terus bersama PR hanya disokong majoriti ahli, tetapi tidak mempunyai kuasa. – 7 September, 2014.

-TMI
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " Ada yang bakal terpelanting bila Hadi lawan PAS Pusat "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx