Monday, September 22, 2014

Apa agenda mahu keluar Malaysia?

LAPORAN polis yang dibuat terhadap sebuah kumpulan yang aktif membawa dakyah agar Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia menunjukkan usaha sedemikian memang wujud dan semakin menular.

Melalui pemerhatian di internet, kumpulan yang dikenali sebagai Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) ini amat aktif di laman blog, Facebook dan Twitter untuk menarik rakyat Sabah dan Sarawak menyokong mereka.

Namun, agenda kumpulan ini bukanlah baharu kerana mereka sudah mula bergerak sejak September 2011. Dalam ruang profil di laman blog mereka, dinyatakan bahawa SSKM adalah sebuah kumpulan partisan dan tidak bergabung dengan parti politik lain.

Antara tuntutan utama SSKM ialah mereka mahukan Sabah dan Sarawak menjadi sebuah negara merdeka.

Pihak ini turut mempertikaikan Perkara 20 iaitu syarat penyertaan Sabah dan Sarawak dalam pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 yang dikatakan tidak relevan kerana gagal dipenuhi kerajaan Persekutuan.

Antara yang disentuh dalam perjanjian tersebut ialah soal agama rasmi, bahasa rasmi, hak rakyat Sabah dan Sarawak terhadap tanah, hutan dan hasil bumi, kuasa ke atas kewangan, tabung pembangunan dan cukai sendiri, melantik orang-orang tempatan ke dalam perkhidmatan awam negeri, menentukan dasar pendidikan, kedudukan khas kaum peribumi dan lain-lain.

Bagaimanapun, apakah kewajaran di sebalik tuntutan ini kerana ia dilihat tidak menghormati Suruhanjaya Cobbold pada Februari 1961 yang meninjau pandangan rakyat Sabah dan Sarawak terhadap pembentukan Persekutuan Malaysia.

Laporan tersebut mendapati penduduk Sarawak dan Sabah rata-ratanya setuju menyertai Persekutuan Malaysia, menunjukkan ia bukan paksaan. Malah, dakwaan mengatakan Sabah dan Sarawak mundur sepanjang berada dalam Malaysia tidak benar sama sekali.

Ini kerana, kerajaan Persekutuan berjaya membawa kedua-dua negeri ini jauh lebih maju berbanding ketika di bawah penjajahan British seiring dengan kemajuan dikecapi negeri lain di Semenanjung Malaysia.

Malangnya SSKM dilihat semakin galak meracuni pemikiran rakyat Sabah dan Sarawak di kala negara menyambut Hari Malaysia.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan sebarang usaha untuk membawa Sabah keluar dari Malaysia sebagai bertentangan dengan perlembagaan negara dan negeri.

Beliau turut menyifatkan hasutan sebegitu akan menjejaskan keamanan dan perpaduan di Malaysia timur jika dibiarkan.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan pihak keselamatan memandang serius ancaman daripada pihak tersebut dan akan mengambil langkah untuk menanganinya.

Seiring dengan isu ini, timbul pula suara golongan tertentu yang mahu Akta Hasutan dihapuskan. Ada yang melihat tuntutan ini bagi memudahkan hasrat mereka untuk melihat lebih ramai rakyat Sabah dan Sarawak menyuarakan keinginan keluar dari Malaysia.

Sehubungan itu, tindakan pantas polis Sabah terhadap laporan yang dibuat terhadap SSKM kerana aktif berkempen dan mengedar risalah berbaur hasutan di kampung dan kawasan pedalaman Sabah, amat wajar dipuji.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, kertas siasatan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan telah dibuka dan pihaknya sedang berusaha mengumpul bukti untuk membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

Tindakan tersebut dilihat amat tepat kerana sebagai rakyat yang bersatu di bawah negara dikenali sebagai Malaysia, sudah tentunya kita tidak mahu tuntutan tidak masuk akal seperti dibuat SSKM merosakkan keamanan yang dibina.

-sinar harian
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " Apa agenda mahu keluar Malaysia? "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx