Friday, September 12, 2014

BN pilih calon ‘luar kotak’ bagi Pengkalan Kubor

Umno dan Barisan Nasional (BN) mengambil sikap 'pemikiran di luar kotak' apabila memilih Mat Razi Mat Ail sebagai calonnya kerana beliau tidak tersenarai langsung dalam nama calon dicadangkan Umno Bahagian Tumpat, manurut Pusat Kajian Politik dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMcedel).

Mengikut kajian UMcedel terhadap pilihan raya kecil Pengkalan Kubur yang dikeluarkan semalam, calon BN yang paling popular di kalangan pengundi di situ ialah Datuk Dr Asraf Wajdi Dasuki.

Asraf, pengerusi Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (Yadim) adalah anak bekas Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Dasuki Ahmad.

Sejak 6 bulan lalu, nama beliau disebut-sebut bakal menjadi calon menteri besar Kelantan jika Umno berjaya mengambil alih kuasa di negeri itu daripada PAS.

Mengikut kajian UMcedel yang diperolehi The Malaysian Insider, Asraf mendapat sokongan tertinggi di kalangan pengundi Pengkalan Kubor untuk dipilih sebagai calon.

Beliau mendapat 35% sokongan, iaitu yang tertinggi, daripada 507 sampel pengundi Pengkalan Kubor yang ditemubual UMcedel pada 29 Ogos lalu.

Menurut kajian itu, UMcedel mendapat 5 nama calon yang berpotensi untuk dipilih BN bagi pilihan raya kecil di situ selepas kematian penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lalu.

Pilihan kedua ialah Timbalan Ketua Bahagian Umno Tumpat Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz yang mendapat 29% sokongan manakala tempat ketiga Rozidi Mohamad (16%) dan keempat Datuk Wan Johani Wan Hussin (9%).

"Nampaknya Umno melepaskan peluang untuk memperkenalkan calon menteri besarnya ketika semua mata tertumpu kepada Pengkalan Kubor," kata seorang pemimpin Umno yang enggan dikenali ketika mengulas perkara ini.

Nama Mat Razi, penolong pegawai pendidikan daerah Tumpat yang juga ahli jawatankuasa Umno bahagian Tumpat diumumkan sebagai calon BN Pengkalang Kubor oleh Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.

Menurut kajian UMcedel itu, calon Pakatan Rakyat (PR) yang paling popular ialah Wan Rosdi Wan Ibrahim, penyelia DUN Pengkalang Kubor sekarang yang mendapat 28% sokongan.

Ia diikuti Che Ibrahim Mohamad (bekas kadi Kelantan) dan Rofien Hasan yang masing-masing mendapat 16% sokongan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor diadakan pada 25 September manakala penamaan calon pada 13 September.

PKR yang sebelum ini meletakkan calonnya bertanding bagi DUN itu dalam pilihan raya umum lalu menyerahkan kepada PAS untuk mewakili Pakatan Rakyat dalam PRK kali ini.

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilantik sebagai pengarah PRK Pengkalan Kubor manakala pengarah operasinya diserahkan kepada Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, veteran pilihan raya PAS.

-tmi
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " BN pilih calon ‘luar kotak’ bagi Pengkalan Kubor "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx