Thursday, October 9, 2014

2 cukai ganti GST dalam belanjawan alternatif Pakatan

Pakatan Rakyat hari ini melancarkan belanjawan alternatif mereka sehari sebelum pembentangan Bajet 2015 dengan memperkenalkan dua cukai menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Bercakap dalam sesi penerangan belanjawan itu di Parlimen hari ini, MP Serdang Ong Kian Ming berkata cukai itu adalah cukai keuntungan modal (CGT) dan cukai warisan harta.

Berbeza dengan GST yang bersikap regresif dan melibatkan mereka yang berpendapatan rendah, beliau berkata kedua-dua cukai itu bersifat progresif dan melibatkan golongan yang mampu.

"Kedua-dua cukai ini dapat membantu pendapatan dan alternatif baik kepada GST," katanya yang menjadi sebahagian jawatankuasa belanjawan Pakatan.

"Kerajaan selalu berkata GST bagus kerana lebih dari 100 negara gunakannya... Tapi CGT yang telah dilaksanakan lebih 127 negara lain," katanya lagi.

CGT dikenakan kepada perolehan keuntungan yang diperoleh oleh seseorang seperti penjualan stok saham, syarikat atau hartanah.

Ong berkata dengan pengenalan cukai tersebut, dijangka dapat mengutip sehingga RM3 bilion pada tahun pertama sekiranya dilaksanakan.

"Di Malaysia hanya keuntungan dari penjualan rumah dalam lima tahun pertama pembelian dikenakan cukai. Keuntungan urusniaga modal lain tidak dikenakan cukai," kata beliau.

Sementara itu cukai warisan harga dikenakan ke atas pemindahan aset di kalangan golongan kaya yang bernilai lebih RM 5 juta.

Selain Ong, jawatankuasa itu turut dianggotai MP Pandan Rafizi Ramli dan MP Kelana Jaya Wong Chen dari PKR dan Dr Dzulkefly Ahmad dari PAS.

Tak capai sasaran

Sementara itu, Rafizi yang juga naib presiden PKR mengakui kutipin kedua-dua cukai tersebut tidak dapat mencapai sasaran RM8 bilion yang mampu dikutip oleh GST.

Bagaimanapun katanya, hal itu dapat dicapai dengan mengelakkan ketirisan dan mengamalkan kontrak terbuka.

Manakala Dr Dzulkefly pula memfokus pembangunan luar bandar yang dikenali "Revolusi Kampung" memperkenalkan pentadbiran tanah yang lebih tersusun berbanding sebelum ini.

Belanjawan alternatif ini diumumkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Pakatan Rakyat meramalkan 2015 sebagai tempoh mencabar bagi rakyat Malaysia dalam menghadapi dasar yang diperkenalkan kerajaan BN

Anwar menyatakan perincian terhadap empat kepincangan pentadbiran ekonomi yang didakwanya menjadi amalan BN selama ini sehingga mendatangkan kesan negatif kepada rakyat dan negara.

Kepincangan itu ialah tatakelola yang lemah sehingga membolehkan budaya rasuah terus berakar dalam kerajaan dan pentadbiran ekonomi dan penggantungan kepada hasil minyak dan gas yang kemudiannya diurus dengan tidak berhemah, katanya.

Beliau yang diapit MP Pokok Sena Mahfuz Omar dan MP Gelang Patah Lim Kit Siang turut membidas perbelanjaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menelan perbelanjaan tinggi setiap tahun.

"Bajet bagi Jabatan Perdana Menteri melebihi RM9 bilion setahun. Ia adalah lima kali ganda jika dibandingkan dengan Jabatan Perdana Menteri Australia," katanya.

Dalam bajet mereka, Pakatan mahu menilai semula program "pembersihan minda" agensi seperti Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan Biro Tatanegara yang berjumlah RM84 juta setahun di samping mengkaji peruntukan RM668 juta kepada Program Latihan Khidmat Negara.

-mk
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " 2 cukai ganti GST dalam belanjawan alternatif Pakatan "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx