Monday, October 27, 2014

Anwar ke penjara, BN tetap menderita?

PETALING JAYA: Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Akhbar News Strait Times Datuk Dr. A. Kadir Jasin menyatakan sebahagian kekuatan Pakatan Rakyat (PR) berpunca daripada kelemahan Barisan Nasional melainkan parti itu sudah pulih sepenuhnya daripada bencana ‘Tsunami Cina PRU 2013′.

Bahkan, BN juga tidak mungkin boleh meraih apa-apa faedah daripada memenjarakan Anwar.

“BN mungkin akan menderita beban tuduhan dan kebencian manakala Anwar akan terus “menerajui” PR dari “suite”nya di penjara. Seandainya kes tersebut digugurkan pula, maka jadilah beliau “makhluk suci” yang kalis fitnah,” katanya di dalam blog www.kadirjasin.blogspot.com/

Tambah Kadir lagi, terdapat beberapa senario yang akan terjadi antaranya jika Anwar masuk penjara, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PR akan kehilangan ketua yang karismatik, tetapi memperoleh simpati.

“Setelah bercakaran dan kacau-bilau akibat krisis Menteri Besar Selangor, PR memerlukan simpati dan persefahaman penyokongnya,” jelas beliau lagi.

Manakala, jika Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan menyatakan bahawa Anwar tidak bersalah, Anwar akan muncul sebagai makhluk suci yang cuba difitnah oleh musuh-musuhnya.

“Kedudukan beliau di mata kepemimpinan dan penyokong PR akan bertambah kukuh,” katanya.

Jelas Kadir lagi, ramalan PR akan hancur musnah kalau Anwar dipenjarakan hanyalah premature. Sebaliknya simpati yang tercetus daripada pemenjaraan Anwar akan memberi peluang baru kepada PR untuk memperkukuh dan memperluaskan sokongan.

Kadir menjelaskan terdapat dua pemangkin yang membuatkan PR berjaya sejak PRU 2008. Pertama, kemampuan Anwar mencari titik pertemuan di kalangan parti-parti yang berbeza ideologi, khususnya antara DAP dan PAS. Kedua, ia berjaya mengeksploitasi keterdedahan (vulnerability) BN.

“Daripada aspek psikologi pula, PR berjaya menjitukan semangat penyokongnya dengan memberikan isyarat yang kuat bahawa mereka boleh mengalahkan BN dan pada masa yang sama mengambil kesempatan daripada kekecewaan penyokong BN terhadap parti mereka sendiri,” katanya lagi.

Kadir turut memberitahu bahawa antara faktor lain yang memihak kepada PR adalah barisan kepemimpinan yang muda.

“Selain veteran seperti Anwar, Lim Kit Siang, Abdul Hadi Awang dan Nik Abdul Aziz Nik Mat, parti-parti PR, terutamanya PKR dan DAP digerakkan oleh generasi pelapis.

“Gabungan kepemimpinan pelapis yang meluas dengan bilangan pemilih muda yang semakin meningkat boleh menjadi dorongan (impetus) kepada parti-parti PR untuk terus berpakat walaupun wujud perbezaan ideologi dan dasar yang ketara,” katanya. -fmt
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " Anwar ke penjara, BN tetap menderita? "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx