Tuesday, October 14, 2014

Indeks akhbar Malaysia dijangka semakin teruk

Pemantau kebebasan akhbar antarabangsa menyifatkan alasan menteri berhubung kemerosotan kebebasan akhbar sebagai “muslihat” Putrajaya untuk mengelak dipertanggungjawabkan.

Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) berkata, berdasarkan dapatan penyelidikan mereka, Malaysia memang berada pada kedudukan teruk.

Katanya, kesimpulan itu dibuat berdasarkan tiga persoalan besar yang diteliti, iaitu kawalan dan pemilikan kerajaan pada media, amalan lesen penerbitan dan laporan langsung wartawan.

“Itu adalah soalan-soalan asas yang ditanya dalam kaji selidik tersebut dan sememangnya Malaysia berada dalam kedudukan yang teruk dalam tiga persoalan tersebut,” katanya wakilnya di Malaysia Hata Wahari.

Beliau menjelaskan, kaji selidik Indeks Kebebasan Akhbar Sedunia (PFI) dikendalikann RSF setiap tahun mendapat maklum balas pelbagai pihak, termasuk pengamal media pelbagai bidang dan kumpulan NGO.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek hari ini berkata, tindakan Pulau Pinang menghalang Utusan Malaysia membuat liputan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) turut menyumbang kemerosotan PFI.

Beliau berkata demikian ketika membidas Nga Kor Ming (DAP-Taiping) di parlimen yang merungut tentang prestasi PFI yang kini menyaksikan Malaysia di tangga 147 daripada 180 negara.

Dalam kenyataannya hari ini, Hata juga berkata, kedudukan Malaysia dalam indeks kebebasan akhbar sedunia juga dijangka terus merosot ekoran langkah terkini kerajaan.

Ini, katanya, termasuk tindakan Datuk Seri Najib Razak menyaman Malaysiakini dan penggunaan Akta Hasutan 1948 terhadap wartawan dan ahli akademik.

“Indeks kebebasan media di Malaysia hanya boleh dipertingkatkan hanya dengan Putrajaya melepaskan semua kawalan terhadap media termasuk media cetak dan media atas talian,” katanya.

-mk
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " Indeks akhbar Malaysia dijangka semakin teruk "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx