Wednesday, October 22, 2014

Indonesia selangkah kehadapan, Malaysia 2 langkah kebelakang

Ketika Indonesia mengalu-alukan presiden ketujuhnya, sebuah akhbar Australia hari ini mengetengahkan perbezaan di antara Presiden Joko Widodo (Jokowi) dan Malaysia di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Memuji pelantikan Jokowi sebagai satu langkah ke hadapan bagi demokrasi, menurut The Sydney Morning Herald, Malaysia sebaliknya melangkah ke belakang dengan mengambil pendirian autoritarian.

Pengarang politik dan antarabangsa akhbar harian Australia itu, Peter Hatcher berkata, Malaysia berusaha gigih "memusnahkan seorang lelaki yang dipilih kebanyakan rakyat Malaysia sebagai ketua mereka," merujuk kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hatcher mendakwa demokrasi regresif Malaysia dapat digambarkan melalui 'perbicaraan palsu' Anwar pada minggu depan.

"Indonesia melantik tokoh yang dipilih kebanyakan pengundi sebagai pemimpin, sementara Malaysia memutuskan satu perbicaraan palsu untuk menghancurkan tokoh yang dipilih kebanyakan pengundi sebagai pemimpin," kata Hatcher.

"Indonesia melaksanakan pemindahan kuasa pertamanya daripada seorang presiden yang dilantik ke seorang presiden yang lain. Dan Malaysia? Ia kekal di bawah kuasa satu parti sama yang sudah memerintah sejak dari kemerdekaan pada 1957."

Hatcher berkata Anwar menjadi 'mangsa' Barisan Nasional, yang takut dengan hakikat Pakatan Rakyat (PR) memenangi 51% daripada undi popular dalam pilihan raya umum tahun lepas.

"Keputusan itu menakutkan kerajaan Najib, membuatkan ia menghidupkan semula taktik kegemarannya bagi menekan Anwar dengan dakwaan liwat."

Katanya, 'kegilaan' Putrajaya menjatuhkan Anwar dibuktikan dengan pelantikan peguam Umno Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebagai timbalan pendakwa raya dalam perbicaraan kes liwat Anwar itu.

Hatcher juga maklum penganiayaan politik Putrajaya bukan sahaja didakwa dilakukan terhadap Anwar seorang, malah terhadap aktivis politik dan pembangkang yang dikenakan tindakan mengikut Akta Hasutan.

Beliau mengambil contoh Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli yang berhadapan hukuman tiga tahun penjara kerana melanggar undang-undang kerahsiaan berhubung kes National Feedlot Corporation Sdn Bhd.

Terdahulu hari ini, Rafizi dan ahli rombongan PKR yang sedang dalam rangka lawatan seminggu ke Australia, berjumpa Menteri Luar Australia Julie Bishop dan membincangkan kes mahkamah Anwar yang akan dijadualkan minggu depan.

Turut serta ialah ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin dan Ahli Dewan Undangan Negeri Semambu Lee Chean Chung.

Pertemuan dengan Bishop itu diadakan di Parlimen Australia di Canberra. –tmi
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " Indonesia selangkah kehadapan, Malaysia 2 langkah kebelakang "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx