Wednesday, October 29, 2014

Isu liwat : Tolak menolak di depan mahkamah

Berlaku kekecohan pada hari kedua pendengaran kes Liwat II Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila penyokong cuba merempuh pagar halangan yang dipasang di sekeliling perkarangan Istana Kehakiman Putrajaya.

Kejadian pada jam 8.38 pagi itu berlaku apabila penyokong yang berarak dari Masjid Tuanku Mizan tiba di kawasan mahkamah.

Selepas tiba di kawasan mahkamah, perarakan yang diketuai Naib Presiden PKR Tian Chua dan Ketua AMK Nik Nazmi Nik Ahmad terus menuju ke pagar penghalang yang dipasang Perbadanan Putrajaya.

Berlaku adegan tolak-menolak selama kira-kira 10 minit apabila penyokong mula melaungkan "tolak" supaya orang ramai merempuh pagar halangan tersebut.

Tian Chua dan Nik Nazmi yang berada di barisan hadapan turut kelihatan cuba untuk menolak pagar berkenaan.

Ketika penyokong menolak pagar halangan, kira-kira 50 anggota polis dilihat cuba menahan pagar berkenaan daripada terus dirempuh.

Selepas itu, Nik Nazmi menjerit meminta supaya orang ramai bertenang.

Nik Nazmi bersama Tian Chua kemudian memasuki pagar halangan berkenaan untuk berjumpa dengan pihak polis bagi meminta kebenaran supaya penyokong dapat berhimpun di hadapan Istana Kehakiman.

Bagaimanapun permohonan itu ditolak.

Selepas itu, keadaan mula terkawal apabila Tian berucap di atas lori pikap.

Sehingga tengah hari, kira-kira seribu penyokong Anwar berkumpul di sekitar kawasan itu.

Bernama melaporkan polis memasang pagar besi bagi mengasingkan penyokong Anwar dan penyokong Saiful di hadapan Istana Kehakiman.
Kedua-dua penyokong dilapor dipisahkan besi penghadang 500 meter pada bahagian sebelah kiri dan kanan bangunan sebagai langkah memastikan tiada insiden tidak diingini.

Nik Nazmi: Saya 'tersepit'

Ketika ditemui Malaysiakini, Nik Nazmi (bawah, berbaju putih) memberitahu, beliau tidak berniat untuk menolak pagar halangan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, keadaan itu terjadi apabila orang ramai mula menolak sehingga beliau "tersepit" di hadapan.

"Keadaan itu terjadi sebab orang ramai rempuh daripada belakang. Yang hadir pada hari ini lebih ramai daripada semalam.

"Hari ini pula kita kena berhimpun belakang sikit daripada semalam. Jadi saya dah minta kebenaran daripada polis supaya benarkan kita berhimpun depan Istana Kehakiman tetapi mereka tak benarkan.

"Polis bagi alasan, di bawah khemah (yang berada di hadapan Istana Kehakiman) sudah ada pembesar suara untuk event (acara)," katanya.

Penyokong Saiful turut hadir

Sementara itu, terdapat juga kain rentang menyokong pengadu kes itu Saiful Bukhari Azlan digantung di kiri Istana Kehakiman – kira-kira 500 meter daripada penyokong Anwar.

Bilangan penyokong Saiful juga kira-kira 200 orang.

Ketika ditemui, seorang penyokong Saiful, Shamsuddin Bahaman, 58, berkata, tiada pihak yang mengetuai kehadiran mereka pada hari ini.

Beliau juga berkata, kehadiran mereka atas dasar suka-suka dan berkata tidak mendapat bayaran mana-mana pihak.

"Bukan dapat upah. Ini cuma suka-suka secara santai. Kita mesej dan WhatsApp kawan-kawan supaya datang untuk beri sokongan kepada Saiful," katanya.

-mk
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " Isu liwat : Tolak menolak di depan mahkamah "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx