Thursday, October 16, 2014

Wayang kulit nombor ekor atas kubur

Sekiranya diperhatikan lagaknya, tidak ubah seperti bermain wayang kulit, namun lokasinya tidak sesuai kerana ia dimainkan di atas kubur, bukannya di padang dan mempunyai penonton.

"Begitulah lagak pemuja nombor ekor di kubur pahlawan melakukan perbuatan khurafat dengan menggunakan teknik seperti bermain wayang kulit," kata Mohd Kamal Salim, 57, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Kuala Telemong.

Menurutnya, Kubur Pahlawan Perang Padang Kachung mempunyai sejarah tersendiri apabila 12 pahlawan yang menentang British pada 1928 terkorban dan disemadikan di dalam satu liang lahad.

Katanya, penentangan berlaku akibat ketidakpuasan hati penduduk apabila British ingin menaikkan cukai.

"Jasad 12 pejuang terbabit iaitu Muhamad Mat Din, Lebai Abdul Rahman, Idris Muhamad, Muhamad Yunus, Abdullah Muhamad, Ismail Ali, Muhamad Jusoh, Muhamad Idris, Muhamad Abdullah, Abdul Hamid Ismail, Mamat Musa dan Sulaiman Salleh disemadikan dalam satu liang lahad.

"Sebelum pembinaan Masjid Kampung Kuala Telemong yang baru pada 1986, kedudukan kubur berkenaan terletak bersebelahan alur sungai.

"Namun, apabila masjid berkenaan siap dan alur sungai pula dialihkan ke laluan lain menjadikan kubur itu terletak berhadapan masjid kampung terbabit," katanya ketika ditemui di Kampung Kuala Telemong, di sini, semalam.

Menurutnya, sebelum ini banyak berlaku kejadian individu yang datang untuk memuja nombor ekor dan hajat di atas kubur berkenaan.

Katanya, selepas kubur itu termasuk dalam kawasan pembinaan masjid baru, aktiviti terbabit berkurangan dengan terakhir pada pertengahan tahun lalu apabila tiga individu berusia 40-an dilihat memuja nombor ekor di atas kubur berkenaan.

Mohd Kamal berkata, walaupun menyedari penduduk kampung melalui kawasan itu, namun ketiga-tiga lelaki terbabit tetap berdegil dan meneruskan perbuatan khurafat dengan menyalakan lilin dan di bahagian hadapan pula dibentangkan kain putih seperti bermain wayang kulit selain mereka turut menyalakan colok sembahyang.

"Dalam kejadian terbaru pula, penduduk menemui satu sudu serta garpu tertinggal di atas kubur berkenaan dan sekiranya difikirkan, ia berkemungkinan digunakan untuk menulis nombor ekor pada tanah ketika pemujaan dilakukan.

"Saya menasihati individu yang mempunyai niat tidak baik supaya tidak melakukan perbuatan khurafat di atas kubur berkenaan kerana ia bukannya tempat mencari jalan pintas bagi mendapatkan kekayaan," katanya.

Bekas Imam Masjid Kampung Kuala Telemong Abdul Rahman Abdullah, 69, berkata, sebelum pembinaan masjid baru, kubur berkenaan terletak di kawasan yang agak sunyi dan pada waktu malam, tiada penduduk lalu di kawasan itu.

"Ia membolehkan individu tidak bertanggungjawab melakukan aktiviti khurafat dan selepas pembinaan masjid baru, kubur berkenaan termasuk di kawasan masjid.

"Namun, masih juga berlaku perbuatan itu, bagaimanapun tidak seperti sebelumnya kerana kawasannya dipagar dan terletak di dalam pekarangan masjid.

"Saya berharap individu berkenaan tidak mencemari kesucian masjid dengan melakukan perbuatan keji sedangkan kubur terbabit hanya menyemadikan jasad manusia yang tidak perlu dipuja bagi mendapatkan sesuatu hajat," katanya yang menjadi imam di kampung itu selama 31 tahun.

Sementara itu, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu Datuk Rozali Salleh berkata, pihaknya memantau keadaan itu dan pelaku boleh diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

"Saya menasihati individu yang melakukan perbuatan itu supaya bertaubat kepada Allah kerana bermain nombor ekor itu adalah dosa. Selain itu, berdamping dengan meminta bantuan daripada makhluk juga adalah dosa besar," katanya.

-mymetro
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " Wayang kulit nombor ekor atas kubur "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx