Tuesday, November 11, 2014

Dr Mahathir terus desak Umno Selangor dibubar

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini sekali lagi menggesa Umno Selangor dibubarkan dan distruktur semula.

Bekas presiden Umno itu berkata, apabila seseorang individu itu memimpin terlalu lama, keyakinan rakyat akan hilang dan itu adalah masa yang sesuai untuk berundur dan menyerahkan jawatan kepada orang lain.

Perdana menteri yang pernah berkhidmat selama 22 tahun itu turut berkata, beliau sendiri berundur dan digantikan dengan pemimpin lain.

"Itu adalah cara pemimpin, mahu jadi pemimpin sepanjang hayat akan timbul masalah," katanya kepada pemberita di Hotel Seri Pacific di Kuala Lumpur hari ini.

Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar sebelum ini membalas kritikan Dr Mahathir minggu lalu, menuntut veteran itu memberikan penjelasan imej korup Umno apabila rakyat mula mengaitkannya dengan gejala rasuah.

Pada 5 November, Dr Mahathir di laman blognya, www.chedet.cc berkata Umno perlu mengikis reputasinya sebagai parti yang korup dan pemimpinnya harus menunjukkan kehidupan sederhana.

Beliau turut mensasarkan pemimpin Umno Selangor dan berkata mereka perlu meletak jawatan dan parti itu perlu distruktur semula di seluruh Selangor berikutan keputusan dua pilihan raya umum sebelum ini yang mengecewakan.

Noh bagaimanapun menggesa Dr Mahathir menyatakan dengan spesifik siapa pemimpin yang dimaksudkannya.

"Bagaimana mereka boleh meletak jawatan? Semua dalam Umno Selangor adalah ketua bahagian, dan dipilih parti ketika pemilihan," kata ahli Parlimen Tanjong Karang itu.

"Jika beliau merujuk kepada saya, saya tidak pernah tewas. Majoriti saya bertambah. Jadi siapa yang dimaksudkannya?,” katanya.

Noh berkata kepada The Malaysian Insider, Umno Selangor mengalu-alukan kritikan daripada Dr Mahathir, namun gesaan pemimpinnya meletakkan jawatan adalah terlalu subjektif.

Dr Mahathir juga menuduh pemimpin Umno Selangor lebih berminat mengukuhkan kedudukan mereka berbanding parti.

"Hari ini, jika kita mahu memilih calon menteri besar, tiada calon yang sesuai," kata Dr Mahathir.

"Ini bukan isu jika Umno Selangor bersedia menerima ahli baru tapi itu tidak akan berlaku kerana Umno Selangor takut dicabar.

"Mereka takut ahli baru akan mengakibatkan mereka hilang kedudukan atau tidak dicalonkan dalam pilihan raya," katanya.

Noh bagaimanapun menafikan perkara itu sebaliknya berkata Umno Selangor sentiasa terbuka menerima ahli baru.

"Kami di Selangor terbuka kepada semua. Beliau perlu spesifik. Sejak bila kami larang orang lain sertai?

"Jika beliau boleh spesifik (dan maklumkan) ahli mana yang ditolak, kita akan tahu. Setakat ini kami terbuka kepada sesiapa,” katanya.

Dr Mahathir berkata, Umno Selangor juga memerlukan lebih tenaga dan kerja keras untuk menarik penyertaan kumpulan Melayu muda menyertai mereka, termasuk mendekati mereka yang anti Umno.

Kritikannya timbul selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, adalah memalukan Barisan Nasional (BN) menjadi pembangkang di Selangor.

BN Selangor mengalami kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum 2013 apabila hanya memenangi 5 kerusi Parlimen, Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Tanjong Karang dan Sungai Besar – termasuk 8 kerusi DUN - Sungai Air Tawar, Sungai Panjang, Semenyih, Dengkil, Jeram, Bukit Malawati, Sungai Burong dan Permatang. –TMI
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " Dr Mahathir terus desak Umno Selangor dibubar "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx