Monday, November 17, 2014

Harga rumah naik hingga 2% lepas GST

Harga rumah di seluruh negara dijangka meningkat hanya antara satu hingga dua peratus dan bukannya tiga peratus selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) bermula 1 April tahun depan.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata angka itu berdasarkan kiraan yang dilakukan Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

"Kenaikannya hanya satu hingga dua peratus sahaja dan bukannya tiga peratus seperti yang diumumkan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan majlis penerangan CBP dan taklimat isu semasa Parlimen Masjid Tanah di Alor Gajah, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh dan Ketua Puteri Umno Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri KPKT Datuk Abdul Rahman Dahlan mengenai kenaikan harga rumah sebanyak tiga peratus berdasarkan kajian yang dilakukan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA). Jangkaan itu berasaskan kenaikan harga bahan binaan selepas perlaksanaan cukai tersebut.

Ahmad bagaimanapun berkata kenaikan itu tidak begitu ketara dan hanya bersifat sementara kerana kerajaan telah melaksanakan beberapa kaedah bagi mengekang kenaikan harga rumah sejak Bajet 2014 lepas.

Beliau berkata antara kaedah tersebut termasuk meningkatkan Cukai Keuntungan Harta Tanah daripada 15 peratus kepada 30 peratus; meningkatkan harga rumah daripada RM500,000 kepada RM1 juta bagi pembeli asing dan melarang pemaju perumahan melaksanakan projek yang berciri Skim Pemaju Tanggung Faedah bagi mengelakkan pemaju memasukkan tanggungan kadar faedah pinjaman pembeli semasa tempoh pembinaan ke dalam harga rumah.

"Kerajaan Barisan Nasional juga dalam akujanji parti berhasrat mewujudkan satu juta rumah mampu milik dalam masa lima tahun ini," katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata kementeriannya menyokong langkah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk mengheret peniaga yang didapati menaikkan harga barangan sesuka hati ke mahkamah berbanding tindakan mengenakan kompaun.

Beliau berkata ia berikutan terdapat usaha pihak tertentu menaikkan harga barang pada masa ini kerana barangan tersebut akan mengalami penurunan selepas perlaksanaan CBP.

"Sebanyak 54 peratus barangan dijangka mengalami penurunan harga selepas CBP, jadi ada usaha menaikkan harga barang tersebut sebelum CBP," katanya.

- Bernama
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " Harga rumah naik hingga 2% lepas GST "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx