Saturday, November 22, 2014

Muhyiddin kata UMNO dalam kritikal, gesa perubahan?

Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Umno melakukan perubahan sebelum mereka diubah selepas dua keputusan pilihan raya umum (PRU) sejak 2008 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) hilang majoriti tradisi dua pertiga di Parlimen dan undi popular pada 2013.

Timbalan presiden Umno itu berkata, keadaan yang dihadapi parti Melayu terbesar itu pada ketika ini kritikal dan tindakan segera perlu diambil sebelum kalah lebih teruk.

"Saya katakan kita sudah capai tahap agak kritikal, kalau perubahan atau pembaharuan tidak dilihat berlaku, bimbangnya kita boleh kalah.

"Isyarat itu sudah jelas di hadapan kita," kata Muhyiddin dalam wawancara eksklusif bersama Utusan Malaysia hari ini.

Muhyiddin turut melihat sayap dalam parti lemah memainkan peranan masing-masing dan menggesa supaya mereka lebih ke depan dalam menangani isu berbangkit dan memberi kefahaman kepada masyarakat.

"Jangan ada orang menganggap Pemuda, Wanita atau Puteri sudah lesu, ataupun sudah tak bermaya atau tak pernah bersuara senyap dan sunyi. Banyak komen seolah-olah (sayap) tidak seperti dulu bila ada isu, dia ke hadapan.

"Sekarang tidak dilihat begitu, (keadaan) ini sudah melalui tempoh yang agak lama, ini tidak boleh berterusan macam itu lagi.

"Bagi saya, kalau nak ubah, kena berubah. Kalau tak, kita diubah,” kata ahli Parlimen Pagoh itu.

Muhyiddin yang juga timbalan perdana menteri melihat Umno masih belum pulih selepas melalui dua PRU, malah parti Melayu itu masih terbelenggu dengan masalah dalaman parti.

"Masih ada isu dalaman yang tidak diselesaikan, masih ada perebutan jawatan, masih ada politik wang, masih ada kelalaian, kealpaan dan kelekaan termasuk sayap-sayap parti.

"Ini satu muhasabah diri yang kita kena akui tapi kita mesti ambil tindakan yang lebih tegas, berkesan dan berani," katanya.

Muhyiddin berkata, kepimpinan sayap dalam parti perlu jelas dengan matlamat yang dibawa Umno, tetapi pendekatan perjuangan untuk kepentingan kaum Melayu juga perlu dilakukan mengikut kaedah berbeza.

"Dalam penggunaan bahasa kita, bukankah ada cara untuk sampaikan mesej dengan jelas tanpa perlu menyentuh perasaan pihak lain.

"Ada yang boleh kita olah dan adalah penting kita tidak lupa tumbuh dan bangunnya Umno untuk perjuangkan nasib bangsa, agama dan negara. Itu tidak berubah dari dulu sampai sekarang. Cara perjuangan kita mungkin berbeza sedikit tetapi mesejnya sama," katanya.

Perhimpunan Agung Umno ke-65 akan bermula minggu depan di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Sebelum ini Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sekali lagi mengingatkan perwakilan yang bakal berkampung selama 5 hari pada Perhimpunan Agung Umno 2014 supaya tidak menyentuh isu sensitif dalam perbahasan.

"Saya nak menasihatkan antara usul yang akan dibahaskan dalam persidangan tersebut ialah ucapan dasar presiden, ekonomi dan agama serta pendidikan.

"Kita nak nasihatkan pembentang usul, mereka bebas untuk mengutarakan apa saja isu, hanya kita tak nak mereka menyentuh masalah peribadi, perkara sensitif di antara kaum dan di antara ahli Umno," katanya. – TMI
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " Muhyiddin kata UMNO dalam kritikal, gesa perubahan? "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx