Friday, November 14, 2014

Penjarakan Anwar rosakkan Najib lebih teruk dari Dr M

Hukuman penjara terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh Mahkamah Persekutuan jika masih tetap berpegang kepada sabitan kes liwat hanya akan menjejaskan Barisan Nasional (BN), bahkan mungkin lebih teruk daripada ketika zaman Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadikan ketua pembangkang itu sebagai musuh, lapor The Edge Review hari ini.

Memenjarakan Anwar hanya akan menyebabkan BN kehilangan undi kerana rakyat Malaysia dilihat sudah penat dengan permainan kerajaan terhadap ketua pembangkang dalam tempoh 16 tahun ini, di mana kes liwat terbarunya juga berlaku ketika penentangan ahli politik pembangkang dan badan lain terhadap penggunaan Akta Hasutan.

"Dalam suasana ini, keputusan bersalah Anwar hanya akan menyebabkan ketua pembangkang itu dilihat sebagai syahid politik di peringkat antarabangsa dan seterusnya menjejaskan imej Malaysia di luar negara di mana ia sudah terkesan sejak kebelakangan ini kerana pendakwaan besar- besaran kerajaan melumpuhkan ahli politik pembangkang dengan menggunakan akta drakonian itu," memetik dari artikel The Edge Review bertajuk, "Hounding Of Anwar Ibrahim takes a toll on Malaysia."

Anwar sedang menanti keputusan Mahkamah Persekutuan bagi rayuan membatalkan sabitan liwat terhadap bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Mahkamah Tinggi yang membicarakan kes ini melepaskan beliau, namun Mahkamah Rayuan pada Mac tahun ini mendapati beliau bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun.

Dalam rayuannya kepada mahkamah tertinggi, pihak pendakwa juga memfailkan rayuan balas untuk memanjangkan lagi hukuman penjara.

Majalah digital mingguan itu berkata sekiranya Anwar dipenjarakan, ia akan menyaksikan peningkatan sokongan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di kalangan ahli Umno.

Ia juga akan menyebabkan Pakatan Rakyat berdepan masalah, di mana The Edge Review mendakwa perikatan parti sedang bergelut untuk mengekalkan penyatuan masyarakat dalam isu agama dan kaum.

Bagaimanapun, dengan memetik penganalisis ia berkata, dengan memenjarakan Anwar, ia umpama pemimpin itu sanggup berbuat apa sahaja demi memperbaiki imej politiknya yang tercalar di kalangan rakyat Malaysia dan tidak mustahil menjadi lebih teruk daripada apa yang dilakukan Dr Mahathir.

Ini kerana Najib juga berdepan dengan penolakan sokongan dari dalam Umno, tambahan pula parti itu bakal mengadakan perhimpunan agung tahunan hujung bulan ini.

Najib diserang beberapa veteren parti, terutama Dr Mahathir dan bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin apabila kedua mereka menyalahkan Najib atas penolakan Umno.

Dr Mahathir juga dilihat begitu lantang mengkritik polisi kerajaan di bawah pentadbiran Najib.

The Edge Review berkata Umno kini berdepan dengan pergelutan kelangsungan yang menyaksikan kehilangan sokongan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Meskipun dapat mengekalkan majoriti di parlimen, namun kalah undi popular kepada Pakatan.

Orang Melayu mula meninggalkan Umno pada tahun 1998 apabila Anwar dipecat dari jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan dan seterusnya pendakwaan kes liwatnya yang pertama.

Sejak itu, hampir dua dekad penganalisis melihat pendakwaaan Anwar sebagai satu kes serius dan insiden malang bagi Malaysia, kata The Edge Review.

"Terlalu banyak kerosakan berlaku dalam sistem kerana kempen tersebut," memetik daripada kenyataan komentar dan pengkaji politik Bridget Welsh.

"Meskipun Umno dan Barisan Nasional menafikan kritikan mereka menggunakan Akta Hasutan, namun pokoknya ia membuktikan kepada Anwar pendakwaannya itu kerana ketakutan Umno dan melihatnya sebagai ancaman terbesar untuk mereka terus ditampuk kuasa," tambahnya.

Sabitan Mahkamah Persekutuan akan dipantau pelabur antarabangsa kerana wujudnya kebimbangan mengenai tadbir urus dan demokrasi bagi negara Asia seperti Thailand, Singapura dan Indonesia selain Malaysia. –TMI
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " Penjarakan Anwar rosakkan Najib lebih teruk dari Dr M "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx