Monday, December 29, 2014

Sesi persekolahan 2015 ditangguh seminggu

Sesi persekolahan 2015 yang sepatutnya bermula pada 4 Januari ini ditangguhkan selama seminggu di seluruh negeri ekoran banjir buruk, umum Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri pendidikan itu berkata, dengan penangguhan itu tarikh baharu sesi bermula persekolahan 2015 bagi Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor adalah pada 11 Januari, manakala negeri lain akan bermula pada 12 Januari.

"Sebagai menteri pendidikan, saya amat memahami dan mengambil berat kesukaran yang bakal dihadapi semua pihak termasuk pengurusan sekolah, guru, ibu bapa dan murid sekiranya persekolahan bagi 2015 dibuka seperti dijadualkan iaitu pada 4 Januari 2015 (bagi Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor) dan pada 5 Januari 2015 bagi negeri lain," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, sehingga semalam pihaknya mendapati 340 sekolah daripada tujuh negeri terlibat dengan banjir, sama ada dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau sekolah tersebut ditenggelami air akibat banjir.

Muhyiddin yang juga timbalan perdana menteri berkata, penangguhan dibuat selepas mengambil kira faktor sekolah yang terlibat sama ada sebagai PPS atau ditenggelami air akan mengambil masa untuk dipulihkan.

Katanya, faktor keadaan guru, ibu bapa dan murid yang menjadi mangsa banjir serta serba kekurangan juga perlu mengambil masa untuk pemulihan dan membuat persiapan persekolahan.

"Sekiranya keadaan banjir tersebut pulih, maka pihak pengurusan sekolah hendaklah menggunakan tempoh tersebut untuk mengadakan gotong-royong pembersihan kawasan sekolah masing-masing bagi memastikan anak-anak kita dapat belajar dalam keadaan selamat, selesa dan sempurna," katanya.

Di Kelantan, mangsa banjir meningkat pagi ini kepada 151,072 orang berbanding 134,139 malam tadi, menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan.

Begitu juga di Pahang yang mencatatkan peningkatan 33,225 mangsa berbanding 31,95 malam tadi, serta Perak 7,813 orang berbanding 7,539 malam tadi.

Manakala jumlah mangsa banjir turun di Terengganu dan Johor, masing-masing mencatatkan jumlah 33,292 orang berbanding 36,210 malam tadi serta Johor 328 orang berbanding 332 malam tadi.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob mengumumkan Kelantan pada semalam sebagai cuti peristiwa berikutan banjir besar di negeri itu.

Jumlah mangsa banjir di 6 negeri terjejas, Kelantan, Pahang, Terengganu, Perak, Johor dan Selangor pagi ini adalah 225,731 orang. – TMI
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " Sesi persekolahan 2015 ditangguh seminggu "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx