Thursday, December 15, 2016

Kes denggi catat trend peningkatan


Kes demam denggi meningkat kepada 48 kes atau 3.6 peratus pada minggu ke-49 tahun ini, dengan 1,376 kes dilaporkan bagi tempoh 4 hingga 10 Disember lepas, berbanding 1,328 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat 417 lokaliti wabak masih aktif dilaporkan di kebanyakan negeri iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Johor, Kelantan, Perak, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak, Pahang, Pulau Pinang, Melaka dan Kedah.



"Jumlah kumulatif kes demam denggi dari Januari hingga 10 Disember tahun ini adalah 97,041 kes iaitu penurunan 14.5 peratus (16,459 kes) berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatat 113,500 kes," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya bagi tempoh 4 hingga 10 Disember juga, terdapat enam kematian dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kematian denggi di Malaysia dari Januari sehingga 10 Disember kepada 228 kes berbanding 304 pada 2015 iaitu pengurangan sebanyak 24.7 peratus.

Mengenai situasi virus Zika, Dr Noor Hisham berkata berdasarkan laporan terkini yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 8 Disember lepas, terdapat 75 negara yang melaporkan jangkitan Zika.

"Di Malaysia pula, bilangan kes positif Zika yang dilaporkan dari 1 September sehingga 10 Disember 2016 masih kekal tujuh," katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, pemantauan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dari Jun 2015 sehingga 10 Disember lepas, turut mendapati keputusan ujian negatif bagi 1,633 sampel darah dan air kencing yang diuji daripada pesakit yang menunjukkan gejala virus Zika.

- Bernama
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " Kes denggi catat trend peningkatan "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx