Thursday, December 1, 2016

PERKASA bidas projek KL PWTC ketika kos sara hidup naik

PERKASA memandang serius rancangan Umno untuk mengembangkan dan membaik pulih bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur, yang juga adalah ibu pejabat parti itu.

Wira PERKASA berkata rancangan pembinaan KL PWTC, yang termasuk pembinaan sebuah menara 70 tingkat, tidak kena pada masa ketika ekonomi negara dan global tidak begitu stabil dan menentu.


“Dalam situasi sekarang, pembangunan yang membawa manfaat kepada rakyat perlu diberi keutamaan terlebih dahulu.

“Sejak kebelakangan ini rakyat `berperang’ dengan kos sara hidup yang kian meningkat.

“Adalah penting untuk kerajaan mengutamakan pembangunan yang menyentuh kepentingan dan kebajikan masyarakat supaya rakyat tidak merasa terhimpit dengan ‘survival’ di negara sendiri,” kata Naib Wira PERKASA, Mohamad Shahiran Safwan Che Mohd Asemari dalam satu kenyataan.

Contoh kesusahan itu, katanya, adalah bagaimana kira-kira 150 pelajar Malaysia di Mesir yang masih belum mendapat biasiswa dan pinjaman dan terpaksa meminjam sehingga RM4.5 juta yang diburukkan lagi oleh nilai ringgit yang semakin lemah.

Beliau berkata jumlah itu agak kecil berbanding kos yang diperlukan untuk pengubahsuaian ke atas PWTC.

“Bukankah pendidikan itu lebih penting, apa lagi para pelajar kita di sana berdepan dengan kemungkinan disingkirkan jika gagal melangsaikan hutang?

“Mereka yang terbabit bukanlah mengikuti kursus-kursus biasa. Rata-ratanya bakal doktor, pakar pergigian dan juga pakar farmasi. Ada juga yang bergantung sepenuhnya kepada keluarga untuk membayar yuran pengajian dan kos sara hidup mereka.

“Jika Malaysia boleh menyumbang RM12 juta bagi pembinaan Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS), kenapa tidak boleh sumbang hanya RM4.5 juta untuk membantu pelajar kita di Mesir?” soalnya.

Sehubungan itu, Safwan mahu kerajaan untuk memberi keutamaan yang betul, terutama apabila ia membabitkan pendidikan bumiputera.

Najib ketika ketika majlis pecah tanah pembangunan KL PWTC berkata, bangunan menara setinggi 70 tingkat itu dibangunkan sempena 70 tahun usia Umno.

Kata beliau, kerja-kerja fizikal dijadual akan dimulakan pada 11 Mei 2017 bersempena tarikh kelahiran Umno dan menjadi mercu tanda ikonik Kuala Lumpur dengan menampilkan persekitaran bersepadu merangkumi hotel, pejabat 70 tingkat dan dewan baharu selain sebuah masjid yang boleh menampung sebanyak 5,000 jemaah.

Projek ini akan dilaksanakan oleh Malaysian Resources Corporation Bhd, sebuah syarikat senaraian awam yang dimiliki kira-kira 40 peratus oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Harga projek KL PWTC bagaimanapun tidak didedahkan tetapi dianggarkan akan mencecah berbillion ringgit.

-MK
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " PERKASA bidas projek KL PWTC ketika kos sara hidup naik "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx