Tuesday, December 6, 2016

Umno, PAS bawa lari isu Parlimen ke dalam stadium, kata Amanah

Amanah hari ini mempersoalkan sikap Umno dan PAS yang membisu terhadap usul dibawa pembangkang di Dewan Rakyat baru-baru ini bagi membincangkan krisis terbaru melibatkan penduduk Rohingya di Myanmar, sambil mendakwa kedua-dua parti menganjurkan perhimpunan di sebuah stadium semalam demi kepentingan politik masing-masing.

Datuk Raja Bahrin Shah yang mengetuai Biro Antarabangsa Amanah berkata usul membincangkan isu itu ditolak dengan alasan ia mencampuri hal ehwal negara luar.



“Anehnya lebih kurang seminggu selepas itu, Umno-BN bersama PAS menyertai Himpunan Solidariti dengan Rakyat Rohingya di Stadium Titiwangsa. Tajuk isunya adalah sama, kekejaman atas Muslim Rohingya.

“Ini bermakna isu-isu yang sepatutnya dibahas secara serius di Parlimen telah dibawa lari ke sebuah stadium untuk dibahas oleh hanya Umno dan PAS,” kata ahli Parlimen Kuala Terengganu itu dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, tindakan speaker Dewan Rakyat menolak usul membincangkan kekejaman ke atas etnik Rohingya pada 24 November lalu menunjukkan ahli Parlimen dinafikan hak untuk menyuarakan pandangan rakyat diwakili mereka.

Malah, katanya, Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya yang diadakan semalam bertujuan mengambil kesempatan daripada penderitaan etnik Rohingya demi kepentingan politik dua PAS dan BN, bukannya untuk mencari penyelesaian bagi menamatkan isu itu.

“Kami ahli Parlimen pembangkang terutamanya, tidak redha isu sepenting ini di ‘hijack’ parti politik tertentu sahaja untuk kepentingan politik murahan mereka dan menafikan Parlimen Malaysia membuat ketetapan rasmi untuk negara dan rakyat Malaysia.

“Oleh itu, kami menuntut perdana menteri mengadakan satu sidang Parlimen khas untuk membahas isu kekejaman ke atas Muslim Rohingya.”

Ribuan orang menghadiri Himpunan Solidariti Ummah anjuran bersama Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim) dan pelbagai NGO Islam di Stadium Titiwangsa, semalam.

Turut hadir ialah Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri; Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang; timbalannya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan dan Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz. -FMT
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " Umno, PAS bawa lari isu Parlimen ke dalam stadium, kata Amanah "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx