To’ki mengaku dihimpit kesulitan hidup

Sekian lama menyepikan diri dalam bidang seni tanah air, tiba-tiba kelibat penyanyi popular era 1990-an To’ki menjadi tular di media sosial dengan penampilan berbeza.

Menerusi gambar berkenaan pelbagai andaian dibuat, tetapi yang mungkin umum tidak ketahui ialah sebenarnya To’ki dihimpit kesulitan hidup apabila tidak mempunyai pendapatan tetap.

Ekoran hal itu, mula timbul desas-desus menyatakan misalnya To’ki sudah menjadi pengemis di jalanan.

Bagaimanapun, dengan tegas To’ki menafikan perkara berkenaan, dan menjelaskan apa yang diperlukannya ketika ini.

“Kalau ada mana-mana persatuan nak bantu, jangan bagi token (saguhati), bantu betul-betul, beri saya beras supaya dapat sekeluarga makan,” katanya di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut penyanyi yang memiliki nama sebenar Mohd Zaki Mansor itu, dia berdepan dengan dugaan hidup sejak tiga tahun lalu apabila studionya dimasuki perompak.

Ekoran pencerobohan itu, semua peralatan muziknya hilang, termasuk gitar kesayangannya.

Namun kata To’ki, bukan soal kerugian wang ringgit menjadi isu paling utama, tetapi lebih kepada nilai sentimental barang dalam studio seperti trofi Komposer Terbaik Asia 1999 yang pernah dimenanginya melalui lagu Zikir Kasih dendangan Amir Ukays.

“Saya tidak malu mengaku yang saya tak punya wang untuk beli beras. Ada ketikanya saya meminjam daripada rakan, dan mungkin sebab itulah saya didakwa mengemis,” katanya.

To’ki, 50, ditemui pada sidang media untuk menjelaskan spekulasi dikaitkan dengannya di pejabat Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M).

Turut hadir Presiden YA1M, Datuk DJ Dave dan anak To’ki, Nur Nilam Qaseh, 9. -MK