UNIC Hafal Rap Sampai Dalam Mimpi

KEMENANGAN di luar jangkaan kumpulan nasyid UNIC menerusi program Gema Gegar Vaganza yang berlangsung pada malam Ahad meninggalkan kesan cukup mendalam kepada kesemua anggotanya.
Mana tidaknya, sepanjang seminggu lalu mereka bertungkus lumus menghafal lirik lagu nyanyian asal Syamsul Yusof dan Mawi iaitu Kalah Dalam Menang yang memerlukan mereka menyanyi secara rap.

Pendek kata, setiap masa mereka mendengar lagu itu untuk menghafal bahagian rap malah sampai terbawa-bawa dalam mimpi.

“Bayangkan kami penyanyi nasyid hendak kena menyanyi secara rap! Tetapi kami sahut juga kerana itulah cabarannya. Memang sepanjang minggu lalu ulang-ulang dengar lagu itu tidak kira masa dan waktu sampai lepas solat pun rap juga!

“Alhamdulillah kami berjaya juga lakukannya sehingga bergelar juara dan jangan terkejut kalau kami rap lagi selepas ini,” kata Fakhrul mewakili UNIC.

Selain Fakhrul, UNIC turut dianggotai oleh Bazli dan Nadji.

Pada peringkat akhir, UNIC menyampaikan dua buah lagu iaitu Ainul Mardhiah dan Kalah Dalam Menang di pusingan battle berjaya meraih gelaran juara dan membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM100,000 dan trofi sumbangan Astro.

Read more at http://www.mstar.com.my/