2,348 individu di tahan di premis judi

Polis Johor menahan 2,348 individu dalam 388 serbuan yang dijalankan ke atas premis perjudian dalam talian di seluruh negeri bermula 1 Jun hingga Sabtu lepas (10 Jun).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata daripada jumlah itu, 413 adalah penjaga premis manakala 1,935 lagi merupakan pelanggan pusat perjudian tersebut.

Kesemua mereka yang ditahan berumur antara 17 dan 64 tahun, katanya dalam kenyataan di Johor Bahru, hari ini.

Selain itu, beliau berkata polis turut merampas 316 tablet, 2,835 komputer, 4,032 komputer riba serta wang tunai berjumlah RM159,995 dan mata wang Singapura $1,390.

Kamarul Zaman berkata kesemua premis itu didapati tidak mempunyai lesen.

“Sehingga kini, hasil operasi agresif polis nampaknya judi dalam talian ini telah berkurangan dengan drastik, namun masih ada lagi yang cuba beroperasi secara curi-curi seperti pada lewat malam.

“Pihak polis menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti itu agar segera melaporkannya bagi membolehkan kita melakukan siasatan dan membawa pesalah ke muka pengadilan,” katanya.

-Bernama