Arab Saudi batal lesen Qatar Airways

Arab Saudi, hari ini membatalkan lesen syarikat penerbangan Qatar Airways dan mengarahkan pejabatnya ditutup dalam tempoh 48 jam. Tindakan itu dilakukan sehari selepas ia melarang semua pesawat Qatar mendarat di lapangan terbang negaranya.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Arab Saudi (GACA) dalam kenyataannya berkata, mana-mana lesen diberi kepada kakitangan Qatar Airways juga ditarik balik. Penganalisis berkata, pembatalan penerbangan berikutan tindakan Arab Saudi itu menyebabkan kerugian jutaan dollar kepada Qatar Airways.

Ketua Penganalisis di StrategicAero Research, yang berpusat di United Kingdom (UK), Saj Ahmad, berkata pembatalan lesen itu menunjukkan pertikaian akan menjadi panjang dan berlarutan.

“Anda tidak membatalkan lesen jika menjangka satu penyelesaian segera. “Cabaran sebenar ialah apa yang boleh dilakukan Qatar untuk mengurangkan (kerugian) dan ketika ini, ia tidak mampu berbuat apa-apa,” katanya.

Pihak berkuasa penerbangan Arab Saudi berkata, pelanggan yang mahu mengubah tiket dari atau ke Qatar perlu berkomunikasi dengan syarikat menerusi telefon atau laman webnya.

Berpuluh pelanggan memenuhi pejabat Qatar Airways di tengah Riyadh, pagi ini, meminta bayaran balik atau menempah semula penerbangan dengan syarikat lain. Qatar Airways dalam laman webnya berkata, ia sudah menguruskan tiga penerbangan sewa khas milik Oman Air untuk membawa penumpang dari Jeddah ke Muscat hari ini.

Satu penerbangan sambungan Qatar Airways kemudian membawa mereka ke Doha. Syarikat penerbangan itu turut membatalkan operasi ke Bahrain, Mesir dan UAE, selepas ia menggantung penerbangan ke Arab Saudi. – REUTERS

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my