Duta Malaysia di Chile kena rompak

Duta Malaysia di Chile, Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya dirompak sekumpulan individu yang memecah masuk kediamannya di Las Flores Avenue, Las Condes, Chile. Kejadian jam 11.15 malam semalam (Ahad) waktu tempatan (11.15 pagi Isnin waktu Malaysia).

Menurut laporan portal Chile, Biobiochile.cl, lima individu dipercayai warga tempatan memasuki rumah berkenaan sebelum mengikat tangan mangsa, isteri serta lima anak mereka.

Dr Mohamad Rameez yang ditemui media tempatan beberapa jam selepas kejadian, memberitahu dipukul di kepala sebelum tangannya diikat malah, suspek dikatakan turut mengugut untuk memotong telinga isterinya.

“Jika saya enggan berikan, mereka mengancam untuk membunuh anak-anak saya,” katanya memetik laporan berita itu. Katanya, kejadian menyebabkan mereka sekeluarga trauma namun bersyukur kerana terselamat.

Sementara itu, polis Chile sudah menyiasat tempat kejadian termasuk mengambil kesan cap jari serta memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman itu.

Dalam pada itu, sumber Wisma Putra ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan duta dan keluarganya selamat. Mohamad Rameez tidak dapat dihubungi untuk mengulas.

-bharian.com.my