Langkah Memulakan Perniagaan Di Internet

Langkah pertama yang penting untuk anda memulakan perniagaan ialah mencari produk dan perkhidmatan yang paling laris di pasaran. Pasaran dan produk adalah dua perkara yang saling berkaitan antara satu sama lain. Apakah yang dikatakan produk yang paling laris dan apa pula kaitannya dengan pasaran?

Produk yang laris adalah produk yang banyak permintaannya di pasaran. Pasaran pula adalah tempat untuk kita menjual produk yang dihasilkan. Oleh itu, amat penting untuk anda mencari pasaran terhadap produk dan perkhidmatan yang banyak permintaannya.

Apa produk yang mahu dijual?

Sering timbul persoalan di fikiran usahawan yang ingin memulakan perniagaan Internet:

“ saya ingin berniaga tetapi tidak tahu apakah yang hendak saya jual”.

Sebenarnya banyak yang boleh anda lakukan dan jual di Internet untuk memulakan perniagaan. Anda cuma perlu memilih salah satu daripada idea-idea atau jenis produk dan perkhidmatan untuk memulakan perniagaan Internet. Apa yang penting anda perlu hasilkan produk yang lebih berkualiti, berinformasi, menarik dan berguna serta boleh menyelesaikan masalah orang ramai.

Produk dan perkhidmatan tersebut juga perlulah yang kurang terdapat di pasaran tetapi mempunyai permintaan yang tinggi. Bila produk tersebut kurang di pasaran, ini bermaksud produk anda mempunyai kurang persaingan. Ini akan menambahkan lagi permintaan terhadap produk yang anda jual.

Selain itu, hasilkan produk dan perkhidmatan yang ada di Malaysia dan boleh dipasarkan ke peringkat antarabangsa. Ini kerana pasaran di peringkat antarabangsa adalah amat luas dan anda berpeluang untuk memperolehi pendapatan yang lumayan.

Rujuk artikel sebelum ini : Perniagaan Internet : Apa yang boleh saya jual..?

Senaraikan dan ulangkaji…

Untuk menyelesaikan masalah “apakah yang hendak dijual di Interent?”, anda perlu menyenaraikan seberapa banyak idea perniagaan yang anda fikirkan. Fikirkan tentang produk atau perkhidmatan yang anda rasa sesuai untuk anda pasarkan.

Cuba ulangkaji idea-idea perniagaan yang anda senaraikan, lakukanlah secara berulang kali dan sentiasalah menambah serta membaiki idea-idea tersebut. Janganlah cepat berpuas hati terhadap idea-idea yang anda senaraikan.

Berfikiran bijak…

Perkara yang paling penting untuk anda ialah berfikir secara bijak dalam melakukan sesuatu. Hasilkanlah sesuatu idea perniagaan itu berdasarkan minat, kebolehan dan pengalaman yang anda miliki. Dengan ini anda mampu untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan yang berkualiti.

Janganlah pula anda mulakan sesuatu perniagaan itu hanya semata-mata memikirkan untuk mendapatkan keuntungan yang banyak dengan segera sahaja. Lakukanlah perniagaan itu untuk jangka masa yang panjang.

Pada pendapat saya, idea perniagaan yang paling laris dan mudah untuk dihasilkan ialah yang berkaitan dengan teknologi maklumat, informasi dan pendidikan. Idea ini boleh anda lakukan dengan menghasilkan produk berbentuk buku elektronik (ebook).

Sebagai contoh, jika anda seorang pelajar universiti, anda boleh menghasilkan produk ebook berkaitan dengan apa yang anda telah pelajari. Sasaran dan pasaran produk ini pula tentulah pelajar-pelajar universiti yang belajar berkaitan dengan apa yang anda telah hasilkan.

Begitu juga jika anda bekerja dalam bidang IT, anda boleh menghasilkan produk ebook yang berkaitan dengan komputer dan teknologi maklumat.

Oleh itu, tetapkan produk yang anda hendak jual sama ada produk program affiliate atau produk sendiri. Apa yang penting produk yang anda pilih itu mampu memberikan anda pendapatan.

Selepas itu tempatkan iklan produk anda atau produk affiliate anda ke dalam blog yang telah dihasilkan. Seterusnya mulakan strategi pemasaran dan promosi yang berkesan untuk menambahkan trafik ke blog anda dan menghasilkan pendapatan.

-Mustahing.com