PRU 14 : Dr M ramal pemimpin pembangkang akan ditahan

Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini sering dikecam kerana melakukan penahanan beramai-ramai semasa menjadi perdana menteri suatu ketika dulu, kini menjangkakan Datuk Seri Najib Razak akan melakukan langkah sama.

Memetik penahanan pemimpin BERSIH sebelum perhimpunan BERSIH5 diadakan tahun lalu, Dr Mahathir berkata perdana menteri mungkin akan bertindak begitu sekali lagi

“Dari episod ini kita dapat jangkakan yang Najib akan bertindak untuk menghancurkan pembangkang dan menakutkan rakyat semasa pilihan raya umum ke-14.

“Terdapat beberapa tanda atau usaha untuk membina kes bagi menangkap dan menahan pemimpin pembangkang. Penahanan pemimpin pembangkang akan mengucar-ngacirkan parti.

“Memang tindakan itu akan menyebabkan rakyat marah tetapi ramai yang akan berasa takut untuk mengundi pembangkang.

“Mereka percaya yang Najib akan dapat tahu dan tindakan akan diambil terhadap mereka. Tanpa pemimpin mereka tidak akan tahu apa yang harus dilakukan,” kata beliau dalam blognya hari ini.

Dalam keadaan begitu, kata Dr Mahathir, undi untuk pembangkang akan merosot.

Tak ada peraturan

Semasa ketiadaan pemimpin, kata pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu, Najib boleh merasuah rakyat dan pekerja parti semahu hatinya.

“Mereka akan melakukan semua perkara yang melanggar undang-undang menurut kehendaknya. Duit akan mengalir tanpa batas.

“Pekerja pilihan raya dan juga pegawai mungkin akan menyalaharahkan pengundi, dan undian akan dimanipulasi. Ramai yang tidak akan boleh buang undi sama sekali,” kata beliau lagi.

Bekas perdana menteri selama 22 tahun itu juga mendakwa Malaysia kini sudah menjadi “negara polis”.

“Ketua Polis Negara mungkin tidak bersetuju tetapi Malaysia telah pun menjadi negara polis atau “police state”. Tidak ada peraturan undang-undang.

“Sama ada arahan itu bertentangan undang-undang negara atau tidak, polis telah menunjukkan yang mereka bersedia menjalankannya.

“Mereka akan tahan pemimpin pembangkang walaupun sedar yang mereka ini tidak pun melakukan apa-apa kesalahan.

“Mereka akan menganggu gugat orang, memanggil untuk disoal siasat dan diancam. Kesemua ini telah dilakukan dan ianya dilakukan dengan persetujuan ketua polis negara,” katanya.

-MK