Radar Hilang Telah Ditemui..?

Tidak seperti digambarkan melalui laporan media sebelum ini, radar tentera yang didakwa hilang dari Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor, sebenarnya sudah dikesan.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk T Subromaniam berkata radar berkenaan sudah sampai ke destitasi sepatutnya iaitu Pelabuhan Rotterdam, Belanda.

“Siasatan yang dijalankan JKDM sebenarnya menjurus kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalaman ketika melepaskan dagangan yang memerlukan permit di bawah akta Pemerdagangan Strategik 2010,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, akhbar The Star melaporkan sistem peralatan radar tentera bernilai jutaan ringgit yang dalam transit ke Belanda dilaporkan hilang di Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor.

Menurut laporan tersebut barangan dari Australia itu ditahan JKDM sementara menunggu dokumen yang diperlukan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

Susulan itu, insiden berkenaan mendapat perhatian ramai, termasuk Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) campur tangan bagi menyiasat kes berkenaan.

Menurutnya, kehilangan yang dilaporkan pagi tadi amat mengejutkan dan merisaukan, sekali gus dibimbangi melibatkan unsur-unsur rasuah.

Sementara itu dalam kenyataannya hari ini Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) berkata kontena yang mengandungi radar berteknologi tinggi itu sentiasa berada dalam kawalan rapi pihak PTP serta agensi lain kerajaan.

“LPJ juga mengesahkan bahawa kontena yang mengandungi peralatan radar tentera berteknologi tinggi tersebut telah pun dimuat ke atas kapal Emma Maersk pada 3 Jun 2017 dan selamat sampai di destinasi yang dituju iaitu Pelabuhan Rotterdam, Belanda,” kata agensi berkenaan.

Sepanjang tempoh kontena terbabit ada di PTP, kata LPJ, pihak pelabuhan sentiasa bekerjasama dengan agensi kerajaan khususnya JKDM.

“Pada masa sama PTP sedang mempertingkatkan pematuhan SOP dalaman berhubung pemakaian Akta Perdagangan Strategik 2010,” kata kenyataan itu. -MK