‘Setan lapar’ cari makanan di bulan Ramadhan

Kuala Lumpur: Alasan tidak masuk akal antaranya ‘emak terlupa kejut sahur’, ‘doktor larang berpuasa’ dan ‘beli untuk kawan’ antara tiga jawapan popular diberikan segelintir individu yang dikesan tidak berpuasa serta membeli juadah secara terbuka sekitar ibu kota.

Golongan ini yang dulunya mendapat jolokan ‘geng plastik hitam’ menjadikan premis di tepi jalan sekitar Medan Selera Jalan Rotan dan Taman Keramat AU3 sebagai lokasi untuk membeli juadah seawal jam 11 pagi.

Lebih mengejutkan apabila peniaga yang sepatutnya tidak menjual makanan dan minuman kepada pelanggan beragama Islam dilihat bersikap ‘tutup mata’ serta bersubahat dengan kaki ponteng puasa ini.

Penggunaan plastik hitam yang dikaitkan dengan taktik membeli juadah untuk ‘kaki ponteng’ puasa turut berubah warna apabila peniaga menggunakan plastik berwarna merah jambu dan kuning.

Tinjauan wartawan Harian Metro bermula jam 11 pagi semalam mendapati beberapa kedai makan di dua lokasi berkenaan menjadi lubuk membeli juadah tengah hari.

Sepanjang tempoh tiga jam pemantauan, terdapat kira-kira 100 individu yang kebanyakannya lelaki muncul membeli nasi bungkus di kawasan itu.

-hmetro