Kedah menang, JDT kenduri gol

Penyandang juara, Kedah mengatur langkah kanan untuk meraih kemenangan bergaya pada aksi pertama saingan peringkat Kumpulan C Piala Malaysia 2017.

Skuad Helang Merah berjaya menewaskan Melaka United pada aksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar, sebentar tadi.

Percaturan dan strategi anak buah Mohd Nidzam Adha Yusof nampak begitu menjadi sekali gus membolehkan mereka menguasai perlawanan.

Satu gol di 45 minit pertama dan satu lagi gol terhasil di babak masa kedua untuk sempurnakan kerja rumah mereka.

Baddrol Bakhtiar dan rakan-rakan turun dengan tekanan tersendiri selepas tewas dalam aksi Liga Super Sabtu lalu, namun mampu menyerap tekanan dengan baik.

Di posisi tengah dan serangan, keberadaan pemain seperti Liridon Krasniqi, Syazwan Zainon, Sandro da Silva dan Syafiq Ahmad begitu tersusun dan selari dalam setiap tindakan.

Mereka dilihat sentiasa serasi dengan rantaian larian selari dan saling membantu dalam setiap asakan menguasai pemain-pemain lawan.

Minit ke-29, Da Silva memisahkan kedudukan dengan rembatan kencang ke sudut kiri gawang Melaka United.

Dalam kem pasukan pelawat pula, skuad Hang Tuah dilihat cuba memberi saingan tidak kurang hebat, namun gagal menghasilkan penyudah sempurna.

Ada beberapa percubaan oleh anak buah Eduardo Almeida, namun pertahankan Kedah sukar dibolosi mereka.

Ifwat Akmal Chek Kassim yang mengawasi pintu gol Kedah dibantu jentera pertahanan mempamerkan kerja keras yang mampu melegakan jurulatih mereka.

Tampil pada aksi separuh masa kedua, giliran Baddrol menggembirakan penyokong-penyokong setia Helang Merah dengan gol kedua pada minit ke-64.

Kedudukan 2-0 bagaimanapun memuaskan hati pasukan tuan rumah, mereka dilihat terus ghairah mengasak zon bahaya Melaka United walaupun dikekang hebat.

Keputusan itu menyaksikan Kedah berada di tangga kedua mengiringi pasukan Kelantan yang turut berjaya mengatasi UiTM FC 3-1.

Sementara itu, satu lagi aksi tumpuan melibatkan kumpulan D di Stadium Tan Sri Hassan Yunos menyaksikan pasukan tuan rumah, JDT membelasah Sarawak dengan keputusan 4-0.

Berikut keputusan-keputusan penuh:

Kumpulan A

Pahang 2-2 Negeri Sembilan

T-Team 1-2 PKNP FC

Kumpulan B

Perak 2-0 PKNS FC

Felda United 0-0 Kuala Lumpur

Kumpulan C

Kedah 2-0 Melaka United

Kelantan 3-1 UiTM FC

Kumpulan D

JDT 4-0 Sarawak

Selangor 1-1 Terengganu

-MK