Pingat pertama negara dalam ATF

ATLET lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin menjadi atlet pertama negara menyumbang pingat di Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) ke-22 di Bhubaneswar, India.

Muhammad Irfan, 22, menghadiahkan pingat perak selepas melakarkan lemparan sejauh 60.96 meter.

Dia tewas kepada atlet Iran, Ehsan Hadadi yang merekodkan lemparan 64.54m untuk emas manakala gangsa milik atlet tuan rumah, Vikas Gowda yang merekodkan lemparan 60.81m.

Catatan Muhammad Irfan itu bagaimanapun gagal memperbaharui rekod kebangsaan miliknya iaitu 62.55m yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Austria Mei lalu.

Ia adalah pingat pertama Muhammad Irfan di kejohanan bertaraf Asia selepas berjaya memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri sebanyak tiga kali tahun ini.

Dia berada di landasan terbaik untuk melakar hatrik emas pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur Ogos ini. -hmetro