Mana mau lari..

SEORANG lelaki, 34, ditahan selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan di sebuah pasar raya di Lembah Sireh, Kota Bharu, hari ini.

Turut ditemui bersamanya, sejumlah dadah yang disembunyikan di dalam kotak rokok dalam kejadian pada 2.20 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, suspek ditahan sepasukan anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan pasar raya itu.

“Anggota menemui suspek yang menunggang motosikal Honda Wave dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika dihampiri, suspek cuba melarikan diri dan bertindak agresif termasuk menendang seorang anggota menyebabkan (anggota) cedera di peha.

“Pemeriksaan lanjut ke atasnya menemui sejumlah dadah dalam kotak rokok dan suspek ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek adalah orang dikehendaki berhubung siasatan kes mengikut Seksyen 18(4) Akta Penapisan Filem 2002.

“Suspek kini ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan,” katanya. -hmetro