Bakal jemaah haji masih terkandas

ENAM PULUH TUJUH bakal jemaah haji negara masih terkandas ekoran masalah kelewatan pengeluaran visa oleh Arab Saudi.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Jamil Khir Baharom, 15 ahli keluarga jemaah terbabit juga belum berangkat ke tanah suci menjadikan kesemuanya 82 bakal jemaah yang masih berada di negara ini.

Jamil berkata, masalah berkenaan disebabkan oleh sistem permohonan visa (Arab Saudi) yang kini hanya boleh dimohon menerusi dalam talian.

Katanya, sistem memproses visa tergendala ekoran penambahan jumlah jemaah haji di seluruh dunia yang membuat permohonan serentak.

“Pihak Tabung Haji (TH) komited untuk menyelesaikan masalah berkenaan dan kita sudah berbincang dengan Kedutaan Arab Saudi mengenai perkara itu.

“Kedutaan (Arab Saudi) menyatakan mereka sudah menambah jumlah kakitangan untuk menguruskan sistem itu bagi memudahkan urusan yang tergendala.

“Pada masa sama, TH turut menyediakan penginapan serta makanan kepada jemaah terbabit dan kita yakin masalah visa itu boleh diselesaikan sebelum 26 Ogos iaitu tarikh penerbangan terakhir ke tanah suci,” katanya ketika menjawab soalan Idris Ahmad (PAS-Bukit Gantang) mengenai langkah kerajaan dalam menyelesaikan masalah jemaah haji yang terkandas di negara ini pada sesi pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat, hari ini.

-hmetro