Rusuhan besar Mahathir tak gentar..?

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pihak yang membuat kekecohan semasa program Nothing To Hide 2.0 adalah penyokong Datuk Seri Najib Razak dan sengaja mengganggu majlis itu untuk menyelamatkan perdana menteri.

“Yang kita tahu yang tidak senang dengan kegiatan parti lawan dan penglibatan saya (bersama pembangkang) ialah pihak penyokong Najib. Sama ada mereka ahli Umno atau tidak itu soal lain.

“Tapi mereka nampaknya cuba sokong Najib dengan menamatkan forum kita supaya Najib terselamat.

“Ini saya terfikir terdiri dari mereka yang penyokong kerajaan. Sama ada dari Umno saya tak tahu tapi ada kemungkinan,” katanya.

Program Nothing To Hide 2.0 berlangsung di Shah Alam pada Ahad lalu bermula dalam keadaan tenang dan Dr Mahathir sempat mengkritik Najib mengenai hutang negara serta skandal 1MDB.

Selepas satu jam kemudian, seorang peserta bertanyakan soalan mengenai Memali – insiden penting kepada PAS yang berlaku pada 1985.

Dr Mahathir – perdana menteri ketika itu – mempertahankan tindakan polis dalam tragedi berkenaan.

Dah hadapi macam-macam

Namun, ketika Dr Mahathir sedang memberikan jawapan, secara tiba-tiba kelihatan peserta membaling kasut, selipar, suar dan kerusi kepadanya.

Program Nothing To Hide yang bermula pada jam 3 petang itu bertukar menjadi ganas pada kira-kira jam 5.30 petang.

Bagaimanapun, tiada objek mengenai Dr Mahathir apabila petugas keselamatan bergegas melindunginya.

Pergaduhan kemudian berlaku apabila penyokong BERSATU cuba menghadapi provokasi berkenaan yang akhirnya melarat ke luar dewan.

Sementara itu, Dr Mahathir, 92, berkata beliau tidak sesekali gentar dengan apa yang berlaku malah terus bersedia menghadapi cabaran dalam politik.

“Saya telah hadapi macam-macam masalah dalam politik, kalau kita nak berada dalam politik kena sedia hadapi cabaran seperti ni.

“Saya tidak sedikit gentar kerana mereka mengadakan rusuhan ni dan kalau lagi besar daripada itu pun tak akan kecewakan saya atau patahkan semangat saya,” katanya dalam sebuah video yang menerusi Facebook Parti Pribumi Bersatu (BERSATU).

Bekas perdana menteri keempat itu turut menasihati semua penyokongnya serta parti pembangkang lain supaya terus berani dalam berhadapan dengan cabaran politik dalam menjatuhkan Najib.

“Mereka jangan gentar, penyokong-penyokong saya dan parti yang berhasrat untuk jatuhkan Najib tidak harus gentar mereka harus berani kerana benar, ini la perjuangan kita

“Kalau kita tak berani ini bermakna kita tidak benar atau tak berani pertahankan kebenaran,” katanya.

Beberapa pemimpin pembangkang menyalahkan penyokong Umno sebagai punca kekecohan berkenaan. Namun pemimpin Umno menafikannya, malah mendakwa BERSATU merancang insiden berkenaan lebih awal.

Read more at https://www.malaysiakini.com/