Syabu dalam kontena bernilai RM10.55 juta

CAWANGAN Narkotik Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas dadah disyaki syabu seberat 150 kilogram dianggarkan bernilai RM10.55 juta di premis di Seri Kembangan, petang semalam.

Serbuan kira-kira 6 petang itu juga menahan tujuh lelaki berusia 22 hingga 43 tahun.

Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri T Subromaniam berkata, hasil pemeriksaan dalam premis itu, pihaknya menemui enam guni serbuk putih disyaki dadah jenis syabu.

“Barang dagangan bersama barang disyaki dadah dibawa masuk dari Chennai, India melalui Pelabuhan Klang dan diikrarkan sebagai Magnesium Sulfat.

“Mereka didapati mengaburi mata pihak berkuasa dengan menyembunyikan enam guni syabu berkenaan bersama 794 magnesium sulfat untuk masuk ke sempadan negara,” katanya pada sidang media di Pejabat Cawangan Narkotik JKDM di Nilai, Negeri Sembilan malam tadi.

Beliau berkata, ketika serbuan terdapat enam pekerja terdiri daripada lima warga Bangladesh dan seorang lelaki warga Nepal sedang memunggah guni dari kontena masuk ke premis.

“Hasil soal siasat membawa kepada penahanan seorang lelaki warga tempatan berhampiran lokasi. Turut dirampas sebuah kenderaan pacuan empat roda yang disyaki digunakan dalam aktiviti pengedaran dadah.

“Siasatan masih diteruskan untuk menjejaki dalang dan ahli sindiket itu. Kami yakin akan menahan saki baki kumpulan ini dalam masa terdekat,” katanya. -hmetro